AM

WARGA MEDIA RAKAN STRATEGIK KERAJAAN - DR ZALIHA

28/04/2025 11:28 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Warga media merupakan rakan strategik kerajaan yang berperanan membina kefahaman, memupuk perpaduan dan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap hala tuju serta tindakan Kerajaan MADANI hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata dalam dunia yang semakin kompleks dengan situasi maklumat tanpa sempadan dan persaingan dalam ruang maya serta nyata, peranan media menjadi semakin signifikan. 

“Setiap yang dilaporkan, ditulis atau disiarkan di mana-mana platform akan membentuk persepsi rakyat terhadap dasar dan agenda yang kita bawa.

“Justeru, saya melihat anda semua bukan sebagai pihak ketiga yang memerhati tetapi berperanan dalam membina kefahaman, memupuk perpaduan dan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap hala tuju serta tindakan Kerajaan MADANI hari ini,” katanya semasa berucap pada Majlis Semarak Aidilfitiri Bersama Rakan Media 2025 di sini, malam ini. 

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Mengambil contoh usaha terkini pihaknya yang mahu melestarikan Kuala Lumpur menerusi Warisan KL, membangunkan Labuan sebagai pulau pintar dan juga memperkasakan Putrajaya sebagai sebuah bandar pintar, kefahaman rakyat terhadap perkara itu bergantung kepada cara ia digarap dan disampaikan media. 

Dr Zaliha berkata sebarang penyebaran maklumat salah dan palsu boleh mengalihkan naratif dan mencetus kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata sebagai contoh, pada era teknologi kecerdasan buatan (AI) ada yang termakan dengan mainan sentimen Melayu dipinggirkan dalam pembangunan atau pembaharuan semula bandar. 

“Saya mahu tekankan, pembangunan semula ini sifatnya in-situ. Kampung Sungai Baru sebagai contoh, hampir 70 peratus penduduk yang bersetuju, mereka semua orang Melayu dan akan ditempatkan semula mendiami tanah mereka sendiri,” katanya. 

Dr Zaliha dalam pada itu turut berharap agar rakan media dapat bersama-sama menyelesaikan isu-isu legasi antaranya pembangunan di Kampung Sungai Baru dan pembangunan semula Pasar Datuk Keramat. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan