AM

KESEDAR PERUNTUK RM170,000 BAYAR PREMIUM TANAH UNTUK PENEROKA RKT

28/04/2025 09:12 PM

GUA MUSANG, 28 April (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) memperuntukkan kira-kira RM170,000 untuk membayar premium tanah bagi manfaat peneroka Rancangan Kemajuan Tanah (RKT).

Pengerusi Kesedar Datuk Zawawi Othman berkata pembayaran kepada kerajaan negeri itu bertujuan membolehkan proses pemilikan tanah oleh peneroka terhadap tanah rancangan milik Kesedar.

Beliau berkata bagi fasa pertama, Kesedar akan melaksanakan pindah milik kepada 127 peneroka melibatkan lima kawasan RKT, iaitu RKT Sungai Asap, RKT Renok Baru, RKT Paloh 1, RKT Paloh 3 dan RKT Chalil.

“Setiap peneroka akan menerima lot ladang seluas hampir empat hektar, dengan anggaran nilaian tanah antara RM360,000 hingga RM468,000 bagi setiap lot.

“Fasa seterusnya pula akan melibatkan penyerahan pemilikan kepada 2,140 peneroka di sembilan RKT lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Program Perumahan Rakyat Sejahtera dan Majlis Hari Raya Aidilfitri KESEDAR 2025 di Dataran Awam Kampung Jerek, di sini hari ini.

Sehubungan dengan hal itu, beliau berkata peneroka perlu menandatangani Borang 14A di bawah Kanun Tanah Negara 1965, iaitu dokumen rasmi bagi urusan pindah milik tanah.

“Peneroka akan memperoleh pemilikan sah ke atas tanah dan boleh menguruskannya sendiri dengan penuh disiplin,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan