JAKARTA, April 28 (Bernama) -- Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin pada Isnin menjadi tuan rumah kepada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Kedutaan Besar Malaysia dihadiri seramai 200 tetamu yang terdiri daripada para pemimpin Kerajaan Indonesia dan diplomat asing.
Antara tetamu khormat yang telah menyerikan majlis ini termasuklah Menteri Pendidikan Dasar dan Menengah Prof Abdul Mu’ti, Ketua Majlis Permusyawaratan Rakyat Ahmad Muzani, Timbalan Menteri Luar Arif Havas Oegroseno dan Ketua Badan Penyelenggaraan Jaminan Produk Halal Dr H. Ahmad Haikal Hassan.
Majlis turut dihadiri oleh mantan-mantan menteri kabinet, anggota dewan perdagangan dan industri, wakil-wakil syarikat, parti-parti politik, media dan organisasi masyarakat tempatan.
Para hadirin menikmati hidangan tradisional Malaysia seperti sate, rendang, ketupat, lemang dan kuih-muih, bersilaturrahim bersama dengan dendangan lagu-lagu Aidilfitri Malaysia klasik dan moden.
Majlis rumah terbuka berlangsung meriah dengan penuh keakraban dan berjaya mengeratkan lagi semangat persaudaraan muhibbah di antara Malaysia dan Indonesia serta komuniti diplomatik di Indonesia.
-- BERNAMA