JENAYAH & MAHKAMAH

KASTAM SARAWAK RAMPAS DADAH BERNILAI LEBIH RM130,000 DI MIRI

29/04/2025 01:58 PM

KUCHING, 29 April (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menumpaskan aktiviti pengedaran dadah jenis methamphetamine bernilai lebih RM130,000 yang dihantar menggunakan perkhidmatan kurier udara di Miri, minggu lepas.

Pengarah JKDM Sarawak Norizan Yahya berkata dadah itu ditemukan menerusi serbuan oleh pasukan Unit Narkotik bersama anjing pengesan ke atas sebuah syarikat kurier di Eastwood Valley Industrial Park pada 9.30 pagi, Khamis lepas.

“Pemeriksaan menemukan satu bungkusan mengandungi dua paket teh berisi 2.04 kilogram (kg) methamphetamine dengan anggaran nilai RM65,280, dialamatkan ke sebuah rumah usang yang tidak berpenghuni.

“Pemeriksaan kedua pada hari sama menemukan sebuah lagi kotak bungkusan mengandungi dua paket teh, juga berisi 2.04 kg methamphetamine, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dadah itu berjumlah RM130,560,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Norizan berkata modus operandi sindiket berkenaan ialah menghantar bungkusan berisi dadah menggunakan kurier udara dari Semenanjung Malaysia ke alamat tidak berpenghuni di Sarawak bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 15 kali, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan