JENAYAH & MAHKAMAH

PBT WAJIB TUBUH UNIT INTEGRITI SELEWATNYA PADA 31 OGOS - SPRM

01/05/2025 10:27 AM

KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diwajibkan menubuhkan Unit Integriti (UI) selewat-lewatnya 31 Ogos ini sebagai sebahagian daripada usaha menyeluruh memperkukuh integriti pentadbiran.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa, sebagai langkah memperkemas struktur pelaporan, semua pegawai penghubung (LO) di PBT kini dikehendaki melapor terus kepada UI di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri dan bukan lagi kepada yang dipertua.

“Pendekatan ini bertujuan mengukuhkan autonomi pelaporan serta meningkatkan ketelusan urus tadbir integriti di peringkat negeri,” menurut kenyataan itu yang dikongsi menerusi laman rasmi Facebook SPRM.

SPRM memaklumkan, perkara itu merupakan antara keputusan yang dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola (JTK) Peringkat Nasional yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, turut menekankan keperluan pematuhan terhadap Laporan SPRM (LSPRM), dengan Pejabat KSN akan mengeluarkan surat peringatan kepada kementerian dan kerajaan negeri yang masih belum mengambil tindakan susulan terhadap syor yang dikemukakan bagi 2017 hingga 2021.

Selain itu, Jabatan Perkhidmatan Awam telah diarahkan menyemak semula beberapa bahagian penting dalam Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM), termasuk perkara berkaitan penerimaan tajaan pihak luar untuk program kerjasama pintar, sebagai langkah penambahbaikan dasar agar lebih telus dan berintegriti.

Kementerian Kewangan pula diminta mempertimbangkan garis panduan “Do’s and Don’ts” Pelaksanaan Perolehan yang disediakan oleh Urus Setia JTK Peringkat Nasional untuk dijadikan rujukan rasmi, digubal sebagai pekeliling dan diedarkan ke semua agensi untuk diguna pakai secara menyeluruh.

Menurut SPRM, KSN turut mengingatkan semua ketua setiausaha (KSU) agar segera melaporkan sebarang kes rasuah yang diketahui di kementerian masing-masing kerana ia merupakan satu daripada indikator penting dalam Sistem Penilaian Prestasi Demerit (DEEP), sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk memperkukuh budaya antirasuah.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan