DUNIA

PRU2025 SINGAPURA: PM LAWRENCE WONG HARAP PENGUNDI NILAI PASUKAN PAP SECARA ADIL

01/05/2025 03:39 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 1 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong menyeru rakyat supaya menilai beliau dan pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) secara adil menjelang hari pengundian Sabtu ini yang bakal menentukan hala tuju baharu negara.

Semasa menyampaikan ucapan dalam Perhimpunan Hari Buruh sebagai perdana menteri, Wong menggesa rakyat Singapura memberikan sokongan kepada kepimpinan beliau dalam menghadapi ketidaktentuan global yang semakin memuncak, termasuk ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China serta tarif yang menjejaskan sektor perniagaan dan mencetuskan kebimbangan merentas sektor.

“Nilailah apa yang telah kami lakukan, bagaimana kami memimpin. Jika anda yakin bahawa kami menunaikan janji dan kami adalah pasukan terbaik untuk membawa Singapura ke hadapan dalam tempoh mencabar ini, maka berilah sokongan anda,” katanya dalam ucaptama pada Khamis.

Dihadiri lebih 1,600 pemimpin kesatuan sekerja dan rakan tiga pihak, perhimpunan itu merupakan sambutan tahunan Hari Buruh Singapura — dan diadakan pada hari terakhir berkempen sebelum tempoh bertenang bermula pada tengah malam (2 Mei).

Wong, yang juga Setiausaha Agung PAP menekankan kepentingan membina hubungan diplomatik yang kukuh dan saling mempercayai dengan Washington dan Beijing, menggelarnya aset utama dalam menangani persekitaran geopolitik global yang semakin tidak menentu.

Beliau memberi amaran tentang implikasi jangka panjang daripada pilihan pengundi, terutama apabila parti pembangkang dilihat seolah-olah bersedia untuk menyaksikan menteri kanan disingkirkan.

“Dalam pilihan raya ini, apabila parti pembangkang memandang ringan terhadap kehilangan menteri utama, saya katakan: tolong, tolong fikirkan masa depan negara dan kebajikan serta periuk nasi setiap warga Singapura,” tegasnya.

Wong turut memberi amaran tentang kemungkinan negara berdepan “ribut ekonomi”, termasuk risiko kemelesetan yang boleh menjejaskan pendapatan dan peluang pekerjaan.

Melangkah ke hadapan, beliau berkata kerajaan akan melipatgandakan usaha menarik pelaburan baharu, memperluas hubungan ekonomi dengan rantau sedang pesat membangun seperti Amerika Latin dan Afrika, serta menyokong firma tempatan dalam proses penstrukturan dan transformasi.

Lebih banyak inisiatif akan diperkenalkan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkembang dan bersaing, katanya.

Mengulangi komitmen PAP terhadap golongan pekerja, Wong berjanji untuk terus bekerjasama rapat dengan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan gerakan buruh negara itu.

“Kami akan terus bersama anda, seiring dan sejalan, demi Singapura yang lebih baik dan lebih cerah. Ini janji saya kepada anda, kepada semua pekerja di Singapura,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada NTUC dan seluruh tenaga kerja negara atas peranan penting yang dimainkan semasa krisis nasional termasuk kemelesetan ekonomi dan pandemik COVID-19.

“NTUC berada di barisan hadapan. Anda yang memimpin usaha melindungi para pekerja kita,” katanya lagi.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan