JENAYAH & MAHKAMAH

KANAK-KANAK LIMA TAHUN MAUT TERTINGGAL DALAM VAN SEKOLAH

01/05/2025 01:44 PM

ISKANDAR PUTERI, 1 Mei (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun meninggal dunia selepas dipercayai tertinggal dalam van sekolah dinaikinya hampir lima jam, semalam.

 Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M Kumarasan berkata mangsa ditemukan tidak sedarkan diri dalam kenderaan terbabit kira-kira 12 tengah hari.

“Mangsa yang bersekolah di sebuah tadika di Taman Bukit Indah, di sini disyaki tertinggal ketika pemandu van itu menurunkan murid di hadapan sekolah kira-kira 7.30 pagi, pada hari sama.

“Mayat mangsa dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah, di sini untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata susulan itu, polis menahan pemandu van sekolah terbabit iaitu lelaki berusia 56 tahun, kira-kira 2.40 petang di kawasan Taman Bukit Indah, untuk membantu siasatan kematian mangsa.

Kumarasan berkata lelaki itu yang tidak mempunyai rekod lampau dan negatif terhadap dadah kini direman hingga 7 Mei ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan