KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menafikan ada mengeluarkan amaran mengenai ramalan suhu ekstrem yang bakal melanda negara seperti tular menerusi aplikasi WhatsApp.
APM dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa amaran itu yang menyatakan suhu akan meningkat antara 45 hingga 55 darjah Celsius adalah tidak benar.
“APM sangat memandang serius berkenaan penyebaran maklumat palsu seperti ini yang boleh memberikan kesan buruk khususnya kekeliruan dan menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, APM menasihati masyarakat agar tidak menyebarkan sebarang maklumat yang belum disahkan kesahihannya.
Orang ramai juga diminta merujuk sumber rasmi seperti Jabatan Meteorologi Malaysia dan agensi kerajaan berkaitan untuk mendapatkan maklumat sahih dan terkini mengenai keadaan dan amaran cuaca.
-- BERNAMA