FUZHOU, 5 Mei (Bernama-CMG) -- Sidang Kemuncak Digital China (DCS) edisi kelapan melabuhkan tirainya di Fuzhou, Fujian pada Ahad, menyaksikan pencapaian sebanyak 455 projek ekonomi digital berjaya dimeterai, melibatkan pelaburan bernilai 228 bilion yuan (RM131.5 bilion).
Jumlah itu mencatatkan peningkatan masing-masing sebanyak lapan peratus dari segi bilangan projek dan 12 peratus dari segi nilai pelaburan berbanding edisi terdahulu.
Projek berkenaan merangkumi pelbagai sektor termasuk kecerdasan buatan (AI) generasi baharu, robotik, infrastruktur kuasa pengiraan dan perkhidmatan perubatan berasaskan internet.
DCS edisi kali ini menarik penyertaan 360,000 peserta dan pelawat sekali gus mencipta rekod baharu.
Dalam pada itu, nisbah peserta dalam kalangan industri korporat meningkat kepada 70 peratus.
Lebih 40 forum serta sesi dialog dan pertukaran pandangan dianjurkan sepanjang acara DCS.
Sidang kemuncak itu juga menyaksikan sistem indeks pembangunan digital China dan laporan perkembangan syarikat “unicorn” dalam ekonomi digital disiarkan buat julung kalinya.
Sebanyak 100 program interaktif berkaitan teknologi digital ditawarkan kepada pengunjung di ruang khusus seluas 56,000 meter persegi.
Selain itu, satu zon khusus untuk ekonomi altitud rendah turut diperkenalkan buat julung kalinya.
-- BERNAMA-CMG