EKONOMI

AHLI PARLIMEN GARIS CADANGAN PERKUKUH EKONOMI NEGARA DEPANI TARIF AS

05/05/2025 02:50 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Ahli-ahli Parlimen hari ini menggariskan beberapa cadangan bagi memperkukuh ekonomi negara ketika berdepan dengan tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS) dan ketidaktentuan ekonomi global. 

Ahli Parlimen Paya Besar (BN) Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah menggesa kerajaan supaya mempercepat pengumuman unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebagai persediaan kepada sektor ekonomi untuk melakukan tindakan penyesuaian terhadap situasi ekonomi negara. 

"Saya bimbang jika kita melambatkan pengumuman ini, ia juga akan merencatkan pengumuman Rancangan Malaysia ke-13 yang bakal diumumkan pada tahun ini," katanya.

Mohd Shahar berkata demikian dalam sesi perbahasan selepas sesi penerangan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat mengenai tarif AS oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini. 

Menurutnya,  polarisasi pertumbuhan ekonomi sesebuah negara sangat berkaitan rapat dengan skala ketidaktentuan polisi global.

"Persoalan saya, apakah strategi yang lebih cepat untuk kerajaan ambil? Adakah Malaysia akan mengambil langkah secara mitigasi, berubah ataupun menyesuaikan diri atau kekal menerima tingkatan tarif yang akan dikenakan nanti?" katanya.

Sementara itu, Lim Guan Eng (Bagan-PH) mencadangkan supaya Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia (BNM) diturunkan sebanyak 1.0 mata peratusan kepada 2.0 peratus daripada 3.0 peratus pada masa ini.

"Memandangkan kadar inflasi kian terkawal, sasaran utama harus ditumpukan kepada menggerakkan  pertumbuhan ekonomi," katanya.

Beliau turut mencadangkan agar peluang perniagaan dan akses kepada industri tempatan dibuka dengan mewajibkan semua pelabur asing dan tempatan membeli sekurang-kurangnya 50 peratus barangan tempatan. 

"Banyak industri kecil dan sederhana (IKS) membuat aduan bahawa kontraktor asing yang menang pembidaan kerajaan dan swasta hanya membeli barangan daripada negara asal mereka sehingga IKS tempatan tidak memperoleh sebarang tempahan perniagaan. 

"Satu perkara yang sama penting ialah melindungi peniaga tempatan daripada peralihan perdagangan terutama sekali tindakan lambakan produk oleh negara-negara yang disekat daripada memasuki pasaran AS,” katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut-PN) meminta kerajaan membuat kajian supaya negara dapat mengurangkan import produk makanan dan pertanian.  

"Saya ingin mengingatkan kerajaan supaya kalau boleh kita melihat ini (pertanian) sebagai sektor yang penting demi untuk masa depan bagi keselamatan makanan sebagai contoh. 

"Sebab itu kita perlu ambil kira, supaya kita dapat membantu petani daripada sekarang kerana pentadbiran Trump adalah selama empat tahun dan ini bermakna (ada potensi) tarif selama empat tahun ini mungkin mengakibatkan (impak terhadap) keselamatan makanan dalam negara kita," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan