CYBERJAYA, 7 Mei (Bernama) -- Equinix Inc merancang untuk memperluas kemudahan pusat datanya di Malaysia selepas projek KL1 International Business Exchange (IBX) siap sepenuhnya bagi memenuhi permintaan infrastruktur digital yang semakin meningkat di seluruh negara.
Pengarah Urusan Equinix Malaysia Asia Pasifik Cheam Tat Inn berkata syarikat itu berada pada peringkat awal perancangan untuk membina pusat data seterusnya yang dikenali sebagai KL2 selepas fasa kedua pusat data KL1 di sini siap secara rasmi.
"Kami menyaksikan momentum yang memberangsangkan sepanjang tahun lepas dengan kemudahan kami di Kuala Lumpur dan Johor semakin mendapat sambutan dalam kalangan perniagaan tempatan dan antarabangsa.
"Penyempurnaan fasa kedua KL1 dalam tahun pertama operasi kami di Malaysia menunjukkan komitmen mendalam syarikat untuk membantu negara menjadi lokasi strategik dalam ekonomi digital serantau," katanya semasa menghadiri taklimat media di pusat data KL1 di sini hari ini.
Menurut Cheam, perluasan Equinix di Malaysia mewakili pelaburan jangka panjang dalam pertumbuhan digital negara.
Pada Julai tahun lepas, syarikat infrastruktur digital itu mengumumkan pengambilalihan tanah daripada Cyberview Sdn Bhd untuk memperluas kapasiti pusat datanya dengan pelaburan awal sebanyak RM23 juta.
"Dengan permintaan yang semakin berkembang di Kuala Lumpur dan Johor, kami kekal memberi tumpuan untuk memperkasa perniagaan dengan infrastruktur berprestasi tinggi, berskala dan mampan yang dihubungkan secara global serta dijanakan secara awan.
"Kami menyambungkan pusat data Malaysia (KL1 dan JH1) dengan kampus pusat data kami sedia ada di Singapura melalui Equinix Fabric.
"Ia dapat mewujudkan ekosistem digital merentas sempadan yang kukuh dengan lebih daripada 1,000 syarikat merangkumi perkhidmatan awan dan rangkaian, teknologi maklumat (IT), perkhidmatan kewangan serta perusahaan dalam rantau ini," kata Cheam.
Penyempurnaan fasa kedua KL1 akan menambah 450 kabinet ke kemudahan itu sejak pelancarannya pada 2024 selain akan menawarkan kapasiti keseluruhan lebih daripada 4.5 megawatt (MW).
Perluasan ini digabungkan dengan kehadiran kukuh Equinix di Singapura dan Johor serta kemasukannya yang akan datang ke Indonesia, Filipina dan Thailand akan membolehkan perniagaan saling berhubung dan bertukar data di seluruh rantau ASEAN.
-- BERNAMA