EKONOMI

PANDANGAN PELBAGAI MENJELANG PENGUMUMAN OPR BNM ESOK

07/05/2025 10:11 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Walaupun kadar dasar semalaman (OPR) dijangka oleh banyak pihak untuk kekal pada 3.0 peratus, beberapa pakar ekonomi melihat penurunan sebanyak 25 mata asas (bps) mungkin akan dilaksanakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai sokongan awal terhadap potensi risiko penurunan tarif Amerika Syarikat (AS).

Mereka percaya bahawa sentimen perniagaan negatif telah bertukar negatif walaupun pentadbiran Presiden AS Donald Trump menangguhkan tarif timbal balas itu selama 90 hari terhadap levi import 24 peratus ke atas Malaysia, industri yang dikendalikan oleh syarikat besar dan kecil turut terjejas.

 Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata jangkaan penurunan kadar itu juga disebabkan oleh kebimbangan terhadap pertumbuhan global.

Selepas Trump mengumumkan satu siri tarif timbal balas yang menjejaskan negara secara menyeluruh pada 2 April, 2025, kebimbangan terhadap prospek ekonomi Malaysia dan prospek perdagangan dan pelaburan telah meningkat.

Terbaharu, Malaysia akan mula berunding dengan AS minggu depan dengan harapan untuk memastikan tiada tarif dikenakan terutama dalam sektor utama.

Ahli ekonomi memberi pelbagai pandangan menjelang keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) akan datang yang dijadualkan esok (Khamis) susulan semakan menurun kepada pertumbuhan tahun ini daripada unjuran awal antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus.

 

Beberapa ahli ekonomi menjangkakan penurunan kadar

Mohd Afzanizam berkata: “Walaupun tarif timbal balas itu ditangguhkan selama 90 hari dan rundingan akan diadakan tidak lama lagi, sentimen perniagaan dan pengguna berpandukan kepada perkara itu yang mungkin mempunyai implikasi dari segi keputusan penggunaan dan pelaburan terutamanya pada separuh kedua 2025.

"Penurunan kadar ini adalah untuk langkah pre-emptif supaya pada separuh kedua 2025 akan ada lebih banyak sokongan daripada sudut dasar monetari," katanya kepada Bernama.

Penganalisis Ekonomi Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF) Profesor Dr Baharom Abdul Hamid berkata walaupun tarif timbal balas ditangguhkan selama 90 hari, tindakan Trump itu telah menjejaskan industri daripada syarikat multinasional dan syarikat berkaitan kerajaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Sehubungan itu, beliau berpendapat bahawa kini adalah masa sesuai untuk penurunan kadar untuk membantu mengurangkan kesan dan menyokong sentimen perniagaan.

“Eksport Malaysia ke Amerika adalah dalam sektor kritikal seperti semikonduktor dan farmaseutikal dan dalam tempoh penangguhan ini, permintaan sebenarnya telah mula terhenti kerana pengimport iaitu AS tidak pasti berapa banyak tarif yang perlu dikenakan.

“Saya jangka sekurang-kurangnya satu hingga tiga bulan, situasi dijangka menjadi huru-hara kerana tiada apa yang dapat dipastikan, jadi untuk mengurangkan kesannya, saya berpendapat BNM akan menurunkan sedikit OPR esok,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata penurunan OPR adalah sementara dengan jangkaan ia akan stabil menjelang suku ketiga 2025.

 

 

Pakar ekonomi lain menjangkakan OPR akan kekal stabil

Sementara itu, Penasihat Kanan Ekonomi Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik Dr Anthony Dass menjangkakan bahawa BNM akan mengekalkan OPR pada 3.0 peratus dan cenderung untuk menurunkan OPR seterusnya menunjukkan kesediaan untuk melonggarkan dasar berdasarkan kepada data ekonomi.

“BNM secara konsisten menyatakan tahap OPR semasa menyokong ekonomi dan seiring dengan prospek inflasi dan pertumbuhan.

"Inflasi terkawal dan ekonomi bersedia untuk berkembang pada tahap yang baik walaupun lebih rendah daripada sasaran 4.5 peratus, dipacu oleh permintaan domestik," katanya.

Beliau berkata BNM dijangka mengekalkan OPR pada 3.0 peratus tetapi mungkin akan menurunkan kadar kemudian pada awal separuh kedua.

“Ini sebahagian besarnya bergantung kepada keadaan ekonomi domestik dan global yang sentiasa berubah serta penilaian risiko serta prospek BNM.

"Jangkaan penurunan kadar pada separuh kedua 2025 adalah disebabkan oleh inflasi rendah, ringgit lebih kukuh dan Rizab Persekutan (Fed) AS munhkin akan menurunkan kadar faedah,” katanya.

Selain itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata MPC dijangka akan mengambil langkah berhati-hati, mengekalkan fleksibiliti sehingga kejelasan yang lebih jelas muncul.

"Rundingan perdagangan dengan AS masih berjalan. Hasil yang berpotensi daripada rundingan berkenaan mempunyai implikasi berbeza terhadap prospek perdagangan Malaysia dan imbangan luaran.

"Kelonggaran dasar dijangka membawa risiko. Penurunan kadar sekarang boleh memberi tekanan kepada ringgit dan berpotensi berlaku kenaikan harga akibat daripada kenaikan harga barang import terutamanya jika tarif dinaikkan berikutan tempoh penangguhan ketika ini," katanya.

OPR adalah yang tertinggi adalah pada 3.50 peratus pada April 2006 dan terendah pada 1.75 peratus dari Julai 2020 hingga Mei 2022 untuk menyokong ekonomi ketika pandemik COVID-19.

Pada mesyuarat terakhirnya pada 6 Mac, 2025, BNM mengekalkan OPR pada 3.0 peratus yang tidak berubah untuk 12 mesyuarat seterusnya sejak Mei 2023.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan