ALOR SETAR, 8 Mei (Bernama) -- Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Kedah berjaya menstrukturkan semula pinjaman bank melibatkan nilai keseluruhan RM411 juta sepanjang tahun lepas.
Ketua Cawangan AKPK Alor Setar Mohd Faizal Mohd Salleh berkata penstrukturan semula pinjaman melalui Program Pengurusan Kredit (PPK) itu melibatkan sebanyak 7,668 kemudahan pembiayaan bank.
"Inisiatif itu memberikan ruang kepada ramai individu untuk kembali menguruskan kewangan mereka secara lebih teratur dan realistik, menawarkan pelan bayaran balik yang lebih sesuai dengan kemampuan mereka.
"Angka ini juga bukan sekadar statistik, tetapi mencerminkan usaha AKPK dalam memberikan bantuan yang berkesan kepada mereka yang memerlukan sokongan kewangan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata statistik penstrukturan semula kredit pada 2024 di AKPK Kedah menunjukkan kad kredit adalah penyumbang terbesar kepada masalah hutang iaitu sebanyak 43 peratus, diikuti pinjaman peribadi sebanyak 38 peratus.
Mohd Faizal berkata selain itu, penstrukturan semula pembiayaan perumahan pula sebanyak tujuh peratus dan kenderaan, lima peratus.
Beliau berkata intervensi awal amat penting terutamanya bagi golongan berusia bawah 45 tahun yang merupakan pelanggan tertinggi AKPK iaitu sebanyak 64 peratus atau 4,885 kes dengan jumlah RM269 juta.
"Pada peringkat usia ini, mereka sedang membina kehidupan berkeluarga dan adalah penting untuk membuat persediaan awal bagi menghadapi usia persaraan.
"Lebih daripada sekadar mengelakkan kebankrapan dan penyitaan harta, bantuan AKPK Alor Setar (Kedah) tertumpu pada pemulihan kualiti hidup yang terjejas akibat bebanan hutang," katanya.
Mohd Faizal berkata AKPK menyeru masyarakat supaya tidak terus terperangkap dalam masalah kewangan, sebaliknya berusaha mencari penyelesaian dan memulihkan keadaan dengan bantuan agensi itu.
-- BERNAMA