AM

K’JAAN BENARKAN PERTUKARAN MAJIKAN MERENTASI SEKTOR - SAIFUDDIN NASUTION

08/05/2025 08:29 PM

PUTRAJAYA, 8 Mei (Bernama) -- Kerajaan memutuskan untuk membenarkan pertukaran majikan merentasi sektor penggajian, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. 

Beliau berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ketiga Belas, Bilangan 1 Tahun 2025 hari ini. 

Saifuddin Nasution berkata sebelum ini kerajaan hanya membenarkan pertukaran majikan dalam sektor yang sama dengan syarat terdapat sama ada penstrukturan syarikat, penutupan syarikat, pembesaran syarikat atau atas kelulusan suatu jawatankuasa yang dikendalikan Jabatan Tenaga Kerja. 

“Perubahan dasar ini akan memberi pelbagai manfaat bukan sahaja kepada kerajaan tetapi juga kepada majikan dan pekerja asing.

“Tambahan pula, ia merupakan amalan baik yang disarankan oleh organisasi-organisasi antarabangsa berkaitan buruh dan telah diguna pakai oleh negara-negara maju yang lain,” katanya dalam kenyataan sempena mesyuarat berkenaan hari ini.

Selain itu, beliau berkata mesyuarat turut bersetuju dengan syor Jabatan Imigresen Malaysia supaya perihal pengurusan memo Periksa Keluar (Check Out Memo - COM) pekerja asing diperkasakan.

“Dengan persetujuan pada hari ini, majikan wajib untuk hadir di pintu keluar antarabangsa bagi mengurus daftar keluar pekerja asing sepertimana majikan mengurus kemasukan pekerja asing. 

“Kekhilafan atau kegagalan majikan boleh dikenakan sekatan permohonan kuota baharu dan sekatan urusan keimigresenan lain,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata semua pihak dimohon supaya cakna terhadap ketetapan dasar kerajaan dan mematuhi peraturan yang digariskan tanpa gagal. 

“Dalam hal ini, kerajaan akan bertindak tegas terhadap sebarang pelanggaran peraturan dan undang-undang berkuat kuasa,” katanya.

Mesyuarat yang berlangsung selama dua jam bermula 3 petang itu turut dihadiri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni serta pegawai tinggi kementerian.

Sementara itu, Mohamad Sabu menerusi hantaran di Facebook berkata mesyuarat itu menyentuh tentang usaha memperkemas pengurusan pekerja asing terutamanya bagi sektor-sektor penting negara.

Dari sudut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), beliau menekankan keperluan memastikan sektor pertanian dan perladangan cukup tenaga kerja bagi menjamin pengeluaran makanan negara terus stabil.

“KPKM akan terus komited untuk bekerjasama dengan kementerian lain demi dasar yang berpaksikan kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata isu keterjaminan makanan perlu ditangani secara serius serta terancang dan rakyat perlu terus mendapat makanan yang cukup, selamat dan mampu milik.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pula berkata kementeriannya menerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Pusat Pertukaran Pekerja Binaan Bhd (CLAB) memainkan peranan penting dalam pengurusan dan perancangan pekerja asing dalam sektor pembinaan.

“Dilema keperluan pekerja asing bukanlah sesuatu yang baharu namun ia tidak seharusnya menjadi beban tetapi dijadikan sebagai pengajaran untuk mengkaji pendekatan lain yang boleh dijadikan strategi baru,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Nanta berkata selaras dengan aspirasi itu, empat kertas pertimbangan dan dua kertas makluman dibentangkan dalam mesyuarat hari ini berkaitan dasar pengurusan serta perancangan kuota penggajian dan kemasukan pekerja asing berdasarkan keperluan dalam negara.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan