AM

USAHAWAN DISARAN SERTAI KURSUS, MANTAPKAN KEMAHIRAN PENGURUSAN PERNIAGAAN

17/05/2025 03:10 PM

SHAH ALAM, 17 Mei (Bernama) -- Usahawan tempatan digalakkan menyertai kelas keusahawanan untuk memantapkan kemahiran pengurusan bagi memastikan perniagaan diusahakan kekal mampan dan berdaya saing. 

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R Ramanan berkata pihak yang terbabit boleh melihat program yang dianjurkan oleh agensi-agensi di bawah kementeriannya bagi mendapatkan latihan diperlukan. 

"Kalau kita lihat program hari ini anjuran TEKUN Nasional merupakan satu usaha di bawah inisiatif Empowering Indian Entreprenuer (EIP) kerana kita lihat banyak peniaga, mereka tahu menjalankan perniagaan tetapi isu yang dihadapi ialah di mana mereka boleh mendapatkan penjimatan kos seperti logistik, elektrik, tenaga kerja dan sebagainya.

".... dan juga bagaimana mereka boleh buat satu akaun yang diaudit dengan betul dan di mana mereka boleh menjana penjimatan yang tinggi. Jadi kursus-kursus latihan seperti ini amat bermanfaat untuk mereka," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Asas Keusahawanan TEKUN Nasional di sini hari ini. 

Pada masa sama, beliau berkata kerajaan kekal komited untuk mengukuhkan ekosistem keusahawanan yang inklusif dan mampan dengan sokongan menyeluruh. 

Beliau berkata ia boleh dilihat menerusi pembiayaan diluluskan TEKUN Nasional bagi tahun ini setakat 30 April lepas iaitu sebanyak RM252 juta telah disalurkan kepada 11,698 usahawan. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan