JENAYAH & MAHKAMAH

NAHAS FRU: MASIH TIADA PIHAK BAYAR JAMINAN, PEMANDU LORI KEKAL DI LOKAP - POLIS

17/05/2025 03:19 PM

TELUK INTAN, 17 Mei (Bernama) -- Masih tiada pihak tampil membayar jaminan untuk pemandu lori yang didakwa memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), setakat hari ini. 

Timbalan Ketua Polis Perak DCP Zulkafli Sariaat berkata sehubungan itu, Rudi Zulkarnain Md Radi, 45, akan terus ditempatkan di lokap Batu Gajah hingga tarikh sebutan semula kes ditetapkan mahkamah iaitu pada 17 Jun depan.

“Jaminan kepada pemandu lori sebanyak RM6,000 dan beliau tidak dapat bayar, kita juga tidak menerima sebarang bayaran daripada pihak lain setakat ini," katanya ditemui ketika hadir ke Hospital Teluk Intan (HTI) di sini hari ini. 

Terdahulu, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat melawat dan menyantuni anggota FRU yang dirawat di HTI akibat kemalangan pada Selasa lepas. 

Semalam, Mahkamah Majistret Teluk Intan menetapkan jaminan RM6,000 terhadap pemandu lori tersebut selepas dia dituduh memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian sembilan anggota FRU berkenaan. 

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua tuduhan berkenaan. 

Media hari ini melaporkan terdapat netizen di media sosial berhasrat membayarkan wang jaminan terbabit.

Dalam pada itu, Zulkafli berkata saksi yang mendakwa melihat pemandu lori cuba mengelak sebuah kenderaan di lokasi kejadian masih belum tampil bagi membantu siasatan.

"Sekiranya ada, pihak polis akan menerusan siasatan susulan bagi tujuan perbicaraan,” katanya.

Beliau berkata setakat ini seramai 16 saksi telah dipanggil untuk diambil keterangan. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan