SUKAN

MALAYSIA TUAN RUMAH KEJOHANAN BOLING PADANG PIALA DUNIA 2025

17/05/2025 06:13 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Malaysia bakal melakar sejarah apabila dipilih menjadi tuan rumah Kejohanan Boling Padang Piala Dunia 2025 yang dijadual berlangsung di ibu negara dari 4 hingga 8 Nov ini.

Pemilihan itu dianggap satu pengiktirafan besar kepada negara apabila badan induk Boling Padang Dunia memberi kepercayaan kepada Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM) untuk menganjurkan kejohanan berprestij tersebut.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata peluang ini tidak harus disia-siakan kerana ia membuka ruang kepada atlet tempatan untuk merasai pengalaman bertanding di pentas dunia tanpa perlu mengeluarkan kos tinggi bagi ke luar negara.

“Perbadanan Stadium akan memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan kejohanan ini berlangsung dengan lancar. Ini adalah peluang besar buat negara, apatah lagi kebanyakan pasukan bertanding merupakan dari negara Komanwel,” katanya selepas merasmikan Fiestabowls Segambut 2.0 di Bukit Kiara di sini hari ini.

Sebanyak 12 negara bakal berentap dalam kejohanan itu, antaranya Australia, England, New Zealand, Scotland, Afrika Selatan, Kanada, India, Hong Kong, Ireland, Amerika Syarikat, Wales dan Malaysia selaku tuan rumah.

Mengulas lanjut, Hannah berkata PLBM kini dalam proses mengemukakan permohonan bagi mendapatkan sokongan dan dana untuk memastikan kejohanan dapat dianjurkan dengan lancar dan cemerlang.

Penganjuran kejohanan itu turut menjadi kesinambungan kepada pencapaian cemerlang atlet negara Nor Farah Ain Abdullah, yang baru-baru ini dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara 2024.

Nor Farah Ain sebelum ini meraih pingat emas dalam acara individu wanita pada Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey, Channel Islands, April tahun lepas.

Sementara itu, Presiden PLBM Datuk Awalan Abdul Aziz mendedahkan bahawa Malaysia dipilih sebagai tuan rumah selepas Hong Kong menarik diri daripada menganjurkan kejohanan tersebut.

Katanya PLBM menerima surat pelantikan rasmi daripada Boling Padang Dunia pada Rabu lepas, sehari selepas Hong Kong memaklumkan penarikan diri atas sebab tidak memenuhi syarat penganjuran.

Katanya edisi 2026 kejohanan berkenaan dijangka akan kembali dianjurkan di Hong Kong.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan