BANGKOK, 19 Mei (Bernama) -- Juara Terbuka Thailand 2025, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berpotensi mencipta kejayaan lebih gemilang, kata Ketua Jurulatih Beregu Lelaki Negara Herry Iman Pierngadi.
Herry menyifatkan pasangan juara Asia itu sebagai beregu Malaysia paling matang, dengan memiliki kepelbagaian strategi permainan yang menjadi kelebihan mereka di gelanggang.
Beliau berkata gandingan Aaron-Soh juga antara yang paling pantas menyesuaikan diri dengan program serta teknik latihan baharu sejak beliau mengambil alih tugas sebagai pengendali beregu lelaki pada Februari lepas.
“Aaron-Soh mungkin pemain paling matang dan cepat membiasakan diri dengan program latihan yang saya perkenalkan, hanya dalam tempoh beberapa bulan. Saya yakin mereka mampu melangkah lebih jauh lagi,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Terbuka Thailand 2025 di Stadium Nimibutr baru-baru ini.
Beliau turut memuji keupayaan pasangan kelima dunia itu menyesuaikan diri dengan pelbagai strategi permainan yang memberikan kelebihan ketika menentang lawan berpengalaman.
“Saya melihat Aaron-Soh dapat bermain mengikut beberapa pelan permainan dan itu memberi kelebihan kepada mereka setiap kali bertemu lawan yang kuat,” katanya.
Ahad lepas, juara dunia beregu lelaki 2022 itu tampil penuh bergaya apabila menjuarai gelaran Super 500 pertama mereka pada Terbuka Thailand, selepas menewaskan pasangan Denmark William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer 20-22, 21-17, 21-12 pada perlawanan akhir.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai beregu lelaki lain, Herry berkata kebanyakan mereka masih memerlukan masa menyesuaikan diri dengan program latihannya.
Beliau berkata pasangan seperti Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Wan Arif Wan Junaidi-Roy King dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri memiliki kelebihan masing-masing, namun masih perlu meningkatkan beberapa aspek permainan.
“Jika mahu bersaing di peringkat Super 300 atau 500 ke atas, kekuatan fizikal perlu mantap dan variasi dalam strategi permainan amat penting untuk memastikan kemenangan setiap kali beraksi,” jelasnya.
Herry berharap kesemua pemain Malaysia dapat memanfaatkan peluang menampilkan aksi terbaik pada kejohanan Masters Malaysia 2025 yang juga kejohanan bertaraf Super 500, yang akan membuka tirai di Axiata Arena, Bukit Jalil bermula esok sehingga 25 Mei.
Herry, yang digelar ‘Naga’ pernah melahirkan juara Olimpik seperti Candra Wijaya-Tony Gunawan (Sydney 2000) dan Hendra Setiawan-Markis Kido (Beijing 2008), hasil daripada dedikasinya selama 31 tahun membimbing skuad badminton Indonesia.
-- BERNAMA