KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Bekas Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tun Dr Mohamed Hashim Mohd Ali meninggal dunia di sebuah hospital swasta pada 11.52 pagi tadi.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 90 tahun.
Perkara itu disahkan oleh Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar kepada Bernama.
Allahyarham merupakan adik kepada Tun Dr Siti Hasmah iaitu isteri bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Allahyarham dimasukkan ke wad kecemasan Ahad lepas kerana mengalami pendarahan di kepala.
Mohd Nizam berkata jenazah akan dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Khalid Al Walid, Kementerian Pertahanan di sini sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Raudatul Sakinah di Sungai Besi untuk disemadikan dengan penuh adat istiadat ketenteraan.
"Semoga Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang beriman", katanya.
Mohd Nizam berkata beliau pernah menjadi aide-de-camp atau juruiring (ADC) kepada Mohamed Hashim sebelum Allahyarham bersara.
Mohamed Hashim menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 1957 dengan menggalas pelbagai jawatan sebelum dilantik sebagai Panglima Tentera Darat pada 1985 dan kemudian sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-9 pada 1987.
Beliau bersara pada April 1992.
Menurut Markas ATM, Allahyarham merupakan antara anak tempatan yang mendapat latihan di Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom, sebelum kembali ke tanah air dan ditauliahkan ke kor Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 1955.
Selepas menamatkan perkhidmatan pada 1992, Allahyarham yang lahir di Ipoh, Perak, kekal aktif menyumbang dalam sektor korporat dan pendidikan, termasuk sebagai Pengerusi Bumiputra-Commerce Holdings Berhad, menurut markas ATM dalam kenyataan.
Ketokohan Allahyarham turut diiktiraf apabila dikurniakan pelbagai pingat kebesaran, termasuk Darjah Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran Tun pada 2022.
Mohamed Hashim juga memainkan peranan penting dalam penganjuran Sukan Komanwel 1998 yang diadakan di ibu negara sebagai Ketua Eksekutif pada 1992, sebelum dilantik menjadi Pengerusi Eksekutif temasya sukan itu dari 1997 hingga 1999.
-- BERNAMA