EKONOMI

POTONGAN CUKAI PENYENARAIAN RM1.5 JUTA DICADANG UNTUK SYARIKAT, PMKS TENAGA DAN UTILITI

11/10/2025 01:03 AM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Potongan cukai sehingga RM1.5 juta ke atas perbelanjaan penyenaraian di Bursa Malaysia yang sebelum ini diberi kepada syarikat dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berasaskan teknologi, kini dicadang diperluas kepada PMKS berasaskan sektor tenaga dan utiliti.

Kementerian Kewangan (MOF) berkata langkah itu bagi menggalakkan lebih banyak syarikat dan PMKS memanfaatkan Pasaran Utama, Pasaran ACE dan Pasaran LEAP dalam usaha mendapatkan dana modal tambahan melalui penyenaraian di Bursa Malaysia serta menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Strategi Semikonduktor Kebangsaan.

"Potongan cukai kepada syarikat berasaskan sektor teknologi dan PMKS berasaskan sektor teknologi, tenaga dan utiliti diberi untuk tempoh lima tahun, berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2026 hingga 2030," kata kementerian itu dalam lampiran yang dikeluarkan seiring dengan pembentangan Belanjawan 2026, hari ini.

Pada masa ini potongan cukai pendapatan sehingga RM1.5 juta yang diberikan melibatkan bayaran fi kepada Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, bayaran fi profesional dan bayaran fi bagi penaja jamin, penempatan dan perkhidmatan pembrokeran.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan