KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Peruntukan RM230 juta kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dalam Belanjawan 2026 mampu melahirkan lebih 32,000 usahawan mikro baharu, kata Pengarah Urusannya Datuk Mohamed Shamir Abdul Aziz.
Beliau berkata peruntukan itu akan digunakan secara strategik dan bersasar bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam aktiviti keusahawanan mikro di seluruh negara dan menyifatkannya sebagai kesinambungan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkasakan ekonomi wanita B40.
“Kami menyasarkan seramai 32,857 usahawan baharu dapat dilahirkan dengan kemudahan pembiayaan berjumlah RM10,000 hingga RM30,000 dan mereka juga diberi peluang membuat bayaran balik dengan lebih fleksibel iaitu sehingga tiga tahun.
“Daripada jumlah keseluruhan, 60 peratus akan disalurkan kepada wanita luar bandar manakala 40 peratus diperuntukkan kepada golongan wanita miskin bandar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Shamir berkata fokus utama institusi kewangan mikro itu adalah memastikan peluang pembiayaan benar-benar sampai kepada kumpulan sasar seterusnya membantu mereka menjana pendapatan serta meningkatkan taraf hidup keluarga B40.
Beliau berkata dengan peruntukan tersebut, menjadikan keseluruhan pembiayaan bagi tahun depan meningkat kepada RM2.9 bilion berbanding RM2.7 bilion tahun ini.
AIM kini mempunyai 320,000 Sahabat Usahawan Aktif di seluruh negara dan majoritinya menjalankan perniagaan kecil-kecilan bagi menjana pendapatan isi rumah bagi memenuhi keperluan asas dan persekolahan anak-anak selain meningkatkan taraf kesihatan ahli keluarga.
Mohamed Shamir berkata AIM juga sedang berusaha menggalakkan usahawan wanita yang hampir 70 peratus masih dalam kategori menjalankan perniagaan informal supaya beralih kepada perniagaan formal selain membimbing Sahabat-Sahabat Usahawan AIM ke arah pensijilan halal.
“Apabila diumumkan peruntukan sebanyak RM230 juta ini, ia sangat ditunggu oleh usahawan-usahawan kecil ini, kerana dana ini memberikan semangat untuk mereka pergi lebih jauh.
“Dengan pencapaian cemerlang bayaran balik pinjaman sebanyak 99.97 peratus, ini membuktikan bahawa golongan wanita yang kami sasarkan ini merupakan aset ekonomi negara yang boleh dipercayai dan berdaya tahan,” katanya.
Sejak penubuhannya pada 1987, AIM telah menyalurkan lebih RM37.68 bilion pembiayaan mikro dan berjaya membantu lebih sejuta wanita Malaysia keluar daripada kemiskinan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 semalam mengumumkan RM230 juta kepada AIM untuk terus menawarkan pembiayaan dan ia menjadikan dana AIM yang tersedia berjumlah RM2.9 bilion untuk manfaat lebih 300,000 ribu sahabat usahawan.
-- BERNAMA