EKONOMI

BELANJAWAN 2026 SEIMBANG PERTUMBUHAN DAN KEBAJIKAN DENGAN DISIPLIN FISKAL -- MAYBANK

12/10/2025 04:35 PM

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) - Belanjawan 2026 menyeimbangkan antara rangsangan pelaburan, sokongan terhadap pertumbuhan sektor ekonomi baharu serta menyediakan bantuan sosial, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Seri Khairussaleh Ramli.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Bank-bank di Malaysia memuji pendekatan meluas diambil oleh kerajaan itu sambil berkata Belanjawan 2026 juga mengekalkan disiplin fiskal untuk terus berada di landasan yang betul dengan sasaran jangka sederhana Akta Tanggungjawab Fiskal iaitu defisit belanjawan 3.0 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK). 

“Pembentangan Belanjawan 2026 dibuat ketika Malaysia sedang berdepan cabaran global daripada ketegangan perdagangan dan tekanan tarif, tekanan kos sara hidup domestik dan dorongan baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairussaleh berkata, belanjawan itu juga kekal komited memastikan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan yang terpinggir.

“Selain itu, Belanjawan 2026 juga menangani isu rakyat berkaitan kos sara hidup termasuk inflasi perubatan dengan pengembangan dan lanjutan pelepasan cukai untuk insurans perubatan dan takaful, serta menangani peruntukan, penyelenggaraan dan kualiti infrastruktur awam, penjagaan kesihatan, pendidikan dan perumahan,” katanya.

Beliau berkata industri perbankan menyokong usaha kerajaan untuk membina ekonomi ASEAN yang bernilai tinggi melalui pelaburan strategik dalam ekonomi baharu yang termasuk semikonduktor, peralihan tenaga dan industri digital.

Menurutnya, dari segi ekonomi inklusif, Maybank memuji komitmen berterusan kerajaan dalam pembangunan perusahaan kecil dan sederhana serta keusahawanan.

“Dari segi pembiayaan, kami akan menjalankan tanggungjawab kami untuk bekerjasama dengan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) dalam pelbagai inisiatif baharu seperti program berasaskan eksport,” katanya.

Khairussaleh berkata bank itu juga menyokong penuh hala tuju kerajaan meneraju ekonomi rentas sempadan, khususnya dalam pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang mengukuhkan kedudukan Johor sebagai pintu masuk strategik Malaysia.

“Sebagai langkah awal, Maybank telah menggerakkan RM8 bilion dari segi pembiayaan dan pelaburan dalam JS-SEZ dan membantu menubuhkan dua pejabat keluarga tunggal (SFO), dengan 11 lagi dalam perancangan,” katanya.

Mengenai komitmen berterusan kerajaan untuk meletakkan Malaysia sebagai peneraju global dalam ekonomi Islam, beliau berkata langkah itu sejajar dengan peranan Maybank memajukan kewangan Islam dan perbankan berasaskan nilai dengan memacu penyelesaian kewangan inklusif dan beretika yang menggalakkan pertumbuhan saksama, kemampanan dan impak sosial.

Dari segi kemampanan, Khairussaleh berkata, belanjawan itu komited mempercepatkan aspirasi bersih-sifar negara yang akan memperkenalkan pelbagai mekanisme berkaitan karbon. 

“Maybank akan terus menyediakan penyelesaian kewangan yang mampan untuk menangani daya tahan iklim dan usaha penyahkarbonan yang berteraskan perkhidmatan kewangan berasaskan nilai,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan