JENAYAH & MAHKAMAH

REMAJA LELAKI MAUT NAHAS ENAM KENDERAAN

12/10/2025 03:00 PM

BATU PAHAT, 12 Okt (Bernama) -- Seorang remaja lelaki 14 tahun maut dalam kemalangan melibatkan enam kenderaan di Kilometer 75.6 Lebuhraya Utara-Selatan (arah Selatan) di Ayer Hitam di sini, awal pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata Muhammad Ammar Zafran Khairul Nizam yang membonceng motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kerana cedera parah pada kepala, tangan dan kaki. 

Beliau berkata kejadian membabitkan masing-masing sebuah bas, kereta dan van serta tiga motosikal berlaku pada 2.30 pagi. 

“Kemalangan awal melibatkan tiga motosikal menyebabkan penunggang dan pembonceng sebuah motosikal tercampak dan jatuh di jalan raya lalu mengakibatkan kemalangan susulan membabitkan sebuah bas, kereta serta van yang tidak sempat mengelak. 

“Kemalangan juga menyebabkan penunggang motosikal sama iaitu remaja lelaki 16 tahun cedera pada tangan dan kaki,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan