GEORGE TOWN, 13 Okt (Bernama) -- Pulau Pinang merupakan negeri kelima tertinggi merekodkan pendapatan isi rumah kasar bulanan penengah, iaitu RM7,386 manakala pendapatan isi rumah kasar bulanan purata (pendapatan purata) pula ialah RM9,152.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Pulau Pinang memaklumkan dapatan utama Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2024 menunjukkan 17.7 peratus isi rumah di negeri ini berpendapatan di bawah RM4,000 dengan sebahagian 15.2 peratus berada dalam kelas pendapatan RM2,000 hingga RM3,999.
"Pulau Pinang antara negeri yang merekodkan kadar pertumbuhan pendapatan melebihi perbelanjaan penggunaan isi rumah manakala dari sudut pertumbuhan, ia mencatat peningkatan tertinggi kadar pertumbuhan tahunan dikompaun bagi pendapatan penengah, iaitu 6.4 peratus dari 2022 hingga 2024 berbanding kadar pertumbuhan penengah nasional, 5.1 peratus.
"Selain itu, kadar kemiskinan keseluruhan menurun kepada 1.9 peratus pada tahun lepas berbanding 2.0 peratus pada 2022 dan dapatan ini mencerminkan kesejahteraan isi rumah di Pulau Pinang yang terus meningkat hasil pelbagai inisiatif kerajaan dan pelaburan berterusan dalam sektor ekonomi serta sosial," menurut kenyataan itu hari ini.
DOSM Pulau Pinang berkongsi dapatan utama HIES 2024 itu pada Karnival Statistik DOSM Pulau Pinang 2025 bersempena dengan Sambutan Hari Statistik Negara ke-9 dan Hari Statistik Sedunia ke-4, yang dirasmikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Pengurusan) Muhamad Ghopran Yeop Hamzah di Bukit Mertajam, semalam.
DOSM memaklumkan Pulau Pinang turut mencatat peningkatan perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata daripada RM5,322 pada 2022 kepada RM5,850 pada 2024 dengan Kadar Pertumbuhan Tahunan Dikompaun (CAGR) 4.7 peratus.
Menurut DOSM, kumpulan makanan dan minuman merekodkan perbelanjaan isi rumah tertinggi yang didorong oleh subkumpulan ikan dan makanan laut lain, iaitu 24.4 peratus.
Karnival Statistik DOSM Pulau Pinang 2025 bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap kepentingan statistik dalam kehidupan seharian serta peranan data dalam menyokong pembangunan negara yang mampan.
Karnival berkenaan turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti Treasure Hunt, pertandingan mewarna dan melukis, derma darah, cabutan bertuah, persembahan artis tempatan, pameran agensi dan Kuiz Interaktif Kahoot.
-- BERNAMA