KOTA BHARU, 13 Okt (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) memerlukan sebuah empangan takungan air bagi mengatasi masalah banjir yang sering melanda kawasan jelapang padi di bawah seliaannya.
Pengerusi KADA Khalid Abdul Samad berkata empangan itu penting untuk membantu pihaknya menangani isu sawah ditenggelami air yang sering merugikan pesawah setiap kali musim tengkujuh.
Beliau berkata KADA telah mengemukakan cadangan pembinaan empangan berkenaan kepada pihak atasan agar dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) melalui perancangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Masalah utama yang kami hadapi sebelum ini banyak tertumpu kepada musim kemarau dan langkah diambil termasuk menambah pam air dari sungai. Namun pada musim banjir, agak sukar kerana kami perlukan satu empangan bagi menampung air berlebihan ketika tengkujuh,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Sukan Negara 2025 Peringkat KADA di Pusat Latihan Pertanian Jambu Merah di sini.
Khalid berkata walaupun urusan pembinaan empangan itu berada di bawah bidang kuasa JPS, KADA tetap bertanggungjawab memastikan bekalan air ke sawah mencukupi bagi kegunaan pesawah
"Namun urusan mengawal banjir berada di luar bidang kuasa kami. Persiapan bagi menghadapi musim tengkujuh masih terhad kerana memerlukan infrastruktur berskala besar.
“KADA hanya mampu membantu dengan membawa pam untuk mengeringkan kawasan terjejas, tetapi bagi menghalang banjir daripada berlaku, ia memerlukan kemudahan yang lebih menyeluruh,” katanya.
Menurut Khalid, kebimbangan utama ketika ini tertumpu kepada ancaman banjir yang boleh menjejaskan hasil padi sekiranya tiada tindakan jangka panjang diambil.
“Sehingga kini belum ada satu projek yang benar-benar dirancang untuk menangani banjir di kawasan jelapang padi, dan kami berharap perkara ini diberi perhatian serius oleh kerajaan.
“KADA kini sedang menyiapkan beberapa projek naik taraf sistem pengairan bagi mengatasi isu kekurangan air yang sering dibangkitkan pesawah sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata antara projek sedang dilaksanakan termasuk Projek Kemubu Tiga dan Empat serta pembinaan rumah pam baharu di Lemal, Kasar, Pasir Mas dan beberapa lokasi lain.
“Kami menjangkakan semua projek itu siap sepenuhnya hujung tahun ini dan menjelang musim kedua penanaman padi tahun depan, kami lebih yakin masalah bekalan air ke bendang dapat diatasi,” katanya.
-- BERNAMA