KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur terus memperkukuh usaha membudayakan integriti di peringkat akar umbi menerusi penganjuran Program Wira Anti Rasuah 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Cochrane, di sini, hari ini.
Program anjuran Cawangan Pendidikan Masyarakat SPRM Kuala Lumpur dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu bertujuan menyemai nilai amanah, jujur dan tanggungjawab dalam kalangan murid sekolah rendah agar mereka menolak rasuah sejak usia muda.
SPRM Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan program itu menghimpunkan kira-kira 1,000 pelajar SK Cochrane, selain memperkenalkan dua pelajar sekolah berkenaan iaitu Abdul Aziz Khair Ammar dan Hasnanin Aish Faiha Hasmi sebagai Duta Wira Anti Rasuah pertama sekolah tersebut.
“Pelantikan ini diharap menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk mencontohi nilai integriti serta menjauhi amalan tidak beretika dalam kehidupan seharian,” menurut kenyataan itu.
Majlis itu dirasmikan oleh Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Timbalan Pesuruhjaya Mohamad Zakkuan Talib, yang menyeru warga pendidik dan ibu bapa agar terus memainkan peranan penting dalam membimbing generasi muda ke arah kehidupan berintegriti.
“Bimbingan dan teladan yang baik daripada ibu bapa dan guru akan melahirkan generasi pelapis bangsa yang memiliki jiwa bersih, bebas daripada rasuah serta mampu menjadi benteng kepada jenayah ini,” katanya.
Program selama dua jam itu turut menampilkan maskot adiwira ‘Kapten MACC’ yang bertujuan mendekatkan murid dengan fungsi dan peranan SPRM sebagai agensi pencegahan rasuah negara.
Selain sesi interaktif bersama pelajar, program itu turut memberi pendedahan tentang bahaya rasuah serta tanggungjawab setiap individu dalam menolak jenayah rasuah.
Sementara itu, Guru Besar SK Cochrane Ahmad Badri Mohamad menzahirkan penghargaan kepada SPRM Kuala Lumpur atas penganjuran program berkenaan dan menegaskan komitmen pihak sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk terus mendukung usaha menjadikan institusi pendidikan bebas rasuah.
“Program ini mencerminkan sokongan berterusan pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terhadap inisiatif pencegahan rasuah di peringkat sekolah,” katanya.
-- BERNAMA