SUKAN

MALAYSIA BAKAL ANJUR KEJOHANAN BERBASIKAL LEBUH RAYA ASIA 2029 - AMARJIT

14/10/2025 11:05 AM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) mengesahkan Malaysia akan menganjurkan Kejohanan Berbasikal Lebuh Raya Asia 2029.

Presiden MNCF Datuk Amarjit Gill Singh berkata keputusan itu dibuat pada 18 Sept lepas, setelah Malaysia berjaya mengetepikan dua negara lain untuk mendapat hak penganjuran.

"Saya gembira ingin memaklumkan bahawa Malaysia memenangi bidaan untuk menganjurkan Kejohanan Berbasikal Lebuh Raya Asia 2029.

"Saya percaya ini berita baik untuk kita semua kerana ada dua lagi negara yang membida, tetapi kita yang menang," katanya ketika ditemui semalam.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menjadi hos kejohanan berkenaan adalah pada 2012 yang berlangsung di Putrajaya.

Sementara itu, Amarjit yang juga Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) berkata keputusan  menganugerahkan hak penganjuran beberapa tahun lebih awal adalah sebahagian daripada pendekatan strategik baharu untuk memastikan persiapan yang lebih baik dan pembangunan jangka panjang bagi sukan berkenaan.

"Apabila saya mengambil alih jawatan Presiden ACC pada Februari, saya mahu ada perancangan jangka panjang, itulah sebabnya kami menganugerahkan (hak penganjuran) kejohanan utama empat tahun lebih awal.

"Langkah ini memberi kita masa untuk merancang lebih awal dan mempunyai tempoh mencukupi bagi membuat persediaan," katanya dan menambah MNCF juga masih belum mengesahkan lokasi kejohanan itu bakal berlangsung.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan