AM

MARITIM INGATKAN NELAYAN KELANTAN WASPADA HADAPI MTL

14/10/2025 11:28 AM

KOTA BHARU, 14 Okt (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengingatkan komuniti nelayan serta pengusaha bot di Kelantan supaya lebih berwaspada susulan Monsun Timur Laut yang semakin hampir dan keadaan laut yang kini sukar diramal.

Pengarah Maritim negeri Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata perubahan cuaca yang mendadak dan keadaan laut tidak menentu pada musim ini boleh mengundang bahaya, khususnya kepada nelayan yang menggunakan bot kecil untuk menangkap ikan.

“Maritim Malaysia menasihati semua pihak agar mengutamakan aspek keselamatan di laut, termasuk sentiasa memakai jaket keselamatan dan mematuhi prosedur keselamatan yang ditetapkan sebelum memulakan aktiviti di laut.

“Setiap kali keluar menangkap ikan, pastikan ahli keluarga terdekat dimaklumkan mengenai lokasi dan jangka masa operasi bagi memudahkan tindakan segera sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau turut menyarankan agar nelayan mengamalkan konsep buddy system atau keluar sekurang-kurangnya berdua sebagai langkah berjaga-jaga.

“Sekiranya berlaku kejadian kecemasan di laut, kehadiran rakan boleh membantu membuat laporan dengan segera supaya pasukan penyelamat dapat melaksanakan operasi mencari dan menyelamat dengan cepat serta berkesan.

“Dengan maklumat awal yang diperoleh, mangsa yang menghadapi masalah di laut dapat dibantu dengan segera dan diselamatkan daripada sebarang musibah,” katanya.

Erwan Shah berkata Maritim Malaysia akan terus memantau keadaan laut dari semasa ke semasa dan bersiap siaga melaksanakan operasi menyelamat pada bila-bila masa bagi memastikan keselamatan komuniti maritim di perairan Kelantan sentiasa terjamin.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan