AM

BELANJAWAN 2026: KOMUNITI NELAYAN LEGA INSENTIF, BANTUAN DIKEKALKAN

14/10/2025 11:51 AM

ALOR SETAR, 14 Okt (Bernama) -- Komuniti nelayan di Kuala Kedah, di sini menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas keprihatinan terhadap kebajikan mereka menerusi pelbagai insentif dan bantuan yang diteruskan dalam Belanjawan 2026.

Beberapa nelayan yang ditemui berkata bantuan diesel bersubsidi pada kadar RM1.65 seliter, elaun sara hidup hingga RM300 sebulan serta insentif hasil tangkapan berjumlah RM160 juta yang diteruskan, sangat membantu golongan nelayan menghadapi pelbagai cabaran.

Menurut Zakaria Said, 51, dari Tebengau, langkah kerajaan meneruskan pemberian insentif terbabit dapat meringankan beban nelayan yang amat bergantung pada ketidaktentuan hasil tangkapan.

“Kami lega kerana Belanjawan 2026 masih mengekalkan elaun sara hidup RM300 sebulan, itu yang menjadi keperluan penting dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya kepada Bernama di sini.

Bagaimanapun, Zakaria berpandangan kerajaan harus mempertimbangkan untuk menaikkan had kuota harian subsidi diesel, terutama bagi nelayan Zon A berikutan jumlah kuota semasa yang tidak mencukupi untuk menampung keperluan operasi harian.

“Kami harap kuota minyak pada harga subsidi tidak dihadkan 50 liter sehari kepada nelayan Zon A kerana memang tidak cukup dan nelayan terpaksa beli diesel tambahan pada harga pasaran yang membebankan,” katanya.

Nelayan Zon A merujuk kepada individu yang menangkap ikan dalam lingkungan lima batu nautika dari pantai. Nelayan dalam kategori ini biasanya bergantung sepenuhnya pada hasil tangkapan sebagai sumber pendapatan harian.

Seorang lagi nelayan, Jamil Ahmad, 41, berkata dia merakamkan penghargaan kepada kerajaan yang terus memberikan perhatian kepada nasib nelayan dengan menyediakan peruntukan untuk golongan itu.

Namun, dia berharap agar insentif yang diumumkan dapat ditambah baik pada masa akan datang dan disalurkan secara adil kepada nelayan yang memerlukan.

“Ramai nelayan di kawasan ini tidak ke laut jika keadaan cuaca tidak mengizinkan dan merasakan hasil tangkapan tidak memuaskan. Jadi, kami harap elaun dan kuota diesel bersubsidi wajar ditambah baik pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2026 pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan meneruskan elaun sara hidup nelayan hingga RM300 sebulan dan insentif hasil tangkapan dengan peruntukan RM160 juta serta bantuan diesel bersubsidi pada kadar RM1.65 seliter.

Kerajaan juga memperuntukkan RM20 juta bagi membolehkan nelayan menaik taraf vesel untuk mengurangkan kebergantungan terhadap tekong dan kru asing, serta menggantikan pukat tunda Zon B dan pukat kenka dua bot bagi mengurangkan vesel tidak lestari.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan