AM

PENCIPTA KANDUNGAN HARGAI SOKONGAN MENTERI KERJA RAYA

14/10/2025 09:41 PM

SIBU, 14 Okt (Bernama) -- Pencipta kandungan Tracey E. Hughes menzahirkan penghargaan kepada Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi serta Kementerian Kerja Raya (KKR) atas sokongan terhadap usaha kecil yang dijalankannya dalam memupuk kesedaran kebersihan jalan raya.

Beliau berkata pihaknya berasa terharu dengan pengiktirafan yang diberikan oleh menteri berkenaan dan bersedia untuk bekerjasama bagi memperkukuh usaha meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kebersihan di sepanjang lebuh raya.

“Apa yang kami lakukan hanyalah sebahagian kecil daripada usaha bersama rakyat Sarawak yang ingin melihat negeri kita lebih bersih, selamat dan indah,” katanya dalam ruangan komen terhadap kenyataan yang dibuat Nanta di laman Facebook beliau.

Tracey turut menyambut baik hasrat Nanta untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan potensi kerjasama lanjut termasuk melalui inisiatif Duta MYJalan.

Beliau turut berharap agar lebih ramai rakyat Sarawak dapat digerakkan untuk menjaga kebersihan dan keselamatan Lebuhraya Pan Borneo menerusi semangat gotong-royong serta kesedaran sivik.

“Terima kasih sekali lagi atas keprihatinan dan semangat yang ditunjukkan. Semoga kita dapat bersama-sama menggerakkan lebih ramai rakyat untuk menjaga Pan Borneo bait-bait (baik-baik),” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan