ALOR SETAR, 15 Okt (Bernama) -- Sebanyak 253 projek seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia berada dalam kategori awal daripada jadual (Ahead of Time), manakala 266 projek lain berada dalam kategori mengikut jadual.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata kesemua 519 projek tersebut berjalan lancar dan merupakan berita baik bagi semua pihak yang terlibat.
“Sebanyak 865 projek bernilai RM49.67 bilion kini berada dalam fasa pembinaan, dengan 841 projek di bawah seliaan JKR Malaysia, manakala 24 projek berkaitan sekolah daif berada di bawah seliaan JKR Sabah dan JKR Sarawak,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan rasmi ke tapak Projek Membina Jalan dan Jambatan Alor Ganu/Titi Gajah, Daerah Kota Setar ke Titi Besi, dekat sini hari ini.
Katanya, sebanyak 383 projek bernilai RM16.36 bilion pula telah siap dan berada dalam Tempoh Tanggungan Kecacatan (DLP).
Menurut Ahmad, kesemua projek dimiliki pelbagai kementerian termasuk Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Beliau berkata kerajaan Persekutuan terus menunjukkan komitmen terhadap pembangunan di Kedah dengan 143 projek bernilai RM6.6 bilion sedang dan bakal dilaksanakan di bawah seliaan JKR.
Daripada jumlah itu, 60 projek bernilai RM3.1 bilion sedang dalam pembinaan, manakala 83 projek bernilai RM3.5 bilion berada di peringkat perancangan.
“Saya telah memaklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah dalam pertemuan pagi tadi mengenai perhatian kerajaan MADANI terhadap negeri Kedah,” katanya.
Antara projek terbesar yang sedang dilaksanakan ialah pembinaan kuarters KKM di Langkawi dengan peruntukan RM88.68 juta.
“Projek dalam perancangan termasuk pembinaan Hospital Kulim yang dianggarkan bernilai RM400 juta,” katanya.
-- BERNAMA