AM

SWM ENVIRONMENT GERAKKAN HAMPIR 3,000 PEKERJA PEMBERSIHAN SEMPENA DEEPAVALI

18/10/2025 09:37 AM

SEREMBAN, 17 Okt (Bernama) -- SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) akan menggerakkan hampir 3,000 pekerja pembersihan awam pada hari pertama dan kedua sambutan Deepavali bagi memastikan kebersihan awam serta kutipan sisa pepejal berjalan lancar sepanjang tempoh perayaan.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata operasi itu turut membabitkan 236 lori kompaktor dan 117 lori tipper terbuka yang ditempatkan di kawasan perkhidmatan masing-masing, sekali gus membolehkan kerja pembersihan dilakukan menyeluruh dan efisien.

“Sambutan perayaan lazimnya menyaksikan peningkatan jumlah sisa pepejal yang tinggi. Oleh itu, kami merancang strategi operasi yang lebih sistematik dengan penambahan tenaga kerja serta jentera.

“Dengan persediaan rapi ini, SWM Environment yakin pengurusan sisa pepejal sepanjang musim perayaan Deepavali akan dapat dilaksanakan secara lebih teratur, sekali gus memastikan persekitaran kekal bersih dan harmoni untuk dinikmati masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata bagi memastikan kelancaran operasi kutipan sisa pepejal sempena Deepavali juga, anjakan jadual kutipan sehari lebih awal turut dilaksanakan di kawasan terpilih melibatkan 24 lokasi di Nilai dan 18 di Port Dickson bagi kutipan sisa domestik, manakala 10 lokasi di Nilai bagi kutipan sisa pukal.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai supaya memberikan kerjasama dengan tidak menghalang laluan kenderaan kutipan semasa kerja pembersihan dijalankan di kawasan masing-masing.

Selain itu, Mohd Norlisam turut mengingatkan masyarakat supaya tidak membakar tong sampah beroda atau bermain mercun kerana tindakan itu boleh mendatangkan risiko keselamatan serta merosakkan fasiliti yang telah disediakan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan