AM

PMR 2025 MELAKA: JUALAN RAHMAH MADANI BANTU PENGANUT HINDU BUAT PERSIAPAN DEEPAVALI

18/10/2025 02:35 PM

JASIN, 18 Okt (Bernama) -- Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Melaka tidak hanya menjadi platform agensi kerajaan mendekati masyarakat tetapi turut membantu meringankan beban orang ramai, khususnya penganut Hindu yang sedang membuat persiapan menyambut Deepavali menerusi Jualan Rahmah MADANI yang menawarkan pelbagai barangan keperluan pada harga lebih rendah.

Penduduk Taman Muhibah, Merlimau K. Rawichandran, 59, berkata peluang membeli barangan keperluan asas pada harga berpatutan amat membantu, terutama ketika kos sara hidup semakin meningkat.

“Saya beli telur, ayam, minyak masak dan beberapa barangan lain untuk persiapan Deepavali. Memang ada perbezaan harga murah sikit berbanding di luar,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di reruai Jualan Rahmah MADANI di sini hari ini.

Beliau berkata penganjuran jualan itu bukan sahaja memudahkan masyarakat mendapatkan barangan segar dengan harga mampu milik, malah turut menggalakkan pengguna berbelanja secara berhemat.

“Rumah saya dekat sini saja, jadi bila nampak ada Jualan Rahmah sempena PMR ni, saya terus datang beli barang. Banyak juga barang dijual dengan harga murah, jadi saya beli siap-siap untuk Deepavali nanti sebab boleh jimat,” katanya.

Seorang lagi pengunjung M. Krishnama, 58, yang hadir bersama anak dan cucunya berkata suasana di lokasi jualan itu meriah dan membantu orang ramai membuat persiapan pesta cahaya dengan lebih mudah.

“Saya tengok tempatnya cantik dan barang semua banyak dan murah. Seronok sebab memang sesuai untuk kami yang akan sambut Deepavali. Saya beli barang (makanan) untuk tetamu yang akan datang rumah nanti,” kata ibu kepada tiga orang anak itu.

Sementara itu, R. Kisnaraj, 27, yang bekerja sendiri dalam bidang dekorasi pelamin berkata Jualan Rahmah MADANI menawarkan pelbagai barangan dengan diskaun menarik.

“Saya datang tengok pameran dan beli barang dapur untuk Deepavali sebab harga semua ada potongan, macam seekor ayam RM10 dan barangan dapur lain pun murah. Program ini memang membantu masyarakat India menjimatkan perbelanjaan. 

“Saya harap PMR di Melaka diadakan lagi sebab program macam ni memang bantu banyak keluarga, terutama masa musim perayaan,” tambahnya, yang akan menyambut Deepavali di Merlimau di sini.

PMR 2025 Melaka yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam di Politeknik Merlimau, Jasin menampilkan pelbagai pengisian menarik merangkumi aktiviti komuniti, pameran agensi dan persembahan pertahanan.

Bertemakan ‘Aspirasi MADANI, Menjamin Pertahanan dan Kedaulatan Negara’, program tiga hari itu dianjurkan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri dengan kerjasama strategik Kementerian Pertahanan (Mindef) dan kerajaan Melaka selaku penganjur bersama.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan