BACHOK, 10 Nov (Bernama) -- Universiti Malaysia Kelantan (UMK) terus mengukuhkan kedudukan sebagai institusi keusahawanan unggul yang telah melahirkan 26,645 graduan sepanjang 19 tahun penubuhannya.
Naib Canselor UMK Prof Datuk Dr Arham Abdullah berkata pada Istiadat Konvokesyen Ke-15 tahun ini, seramai 2,968 graduan menerima ijazah masing-masing melibatkan 44 graduan Doktor Falsafah (PhD), seorang Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA), 66 graduan Sarjana dan 2,857 graduan Sarjana Muda.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 45 graduan antarabangsa daripada enam negara iaitu Indonesia, China, Nigeria, Pakistan, Maldives dan Yaman turut diraikan dalam tujuh sidang konvokesyen bermula hari ini hingga Khamis,” katanya ketika berucap pada Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen UMK Ke-15 di Dewan Keusahawanan UMK, di sini hari ini.
Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra yang juga Pro Canselor UKM berkenan berangkat ke istiadat.
Arham berkata istiadat kali ini turut meraikan 112 graduan sulung daripada tiga program pengajian baharu iaitu Sarjana Muda Bahasa Arab dengan Keusahawanan (Kepujian), Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Kepujian) dan Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian).
Bagi sidang pertama, seramai 111 graduan pascasiswazah diraikan termasuk 12 graduan mod penyelidikan yang menamatkan pengajian dalam masa ditetapkan (GOT) terdiri daripada lapan pelajar antarabangsa dan empat tempatan.
Arham turut menzahirkan kegembiraan atas pencapaian cemerlang UMK di peringkat antarabangsa apabila universiti itu kini berada pada kedudukan 1501+ dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings 2025, serta 401-600 dalam THE Global Impact Rankings 2025.
“UMK juga berada pada kedudukan 501-600 bagi THE Asia Rankings 2024 dan buat pertama kali disenaraikan dalam lima universiti terbaik Malaysia bagi THE Interdisciplinary Science Rankings 2025,” katanya.
Selain itu, UMK tersenarai buat kali pertama dalam QS World University Rankings 2026 pada kedudukan 1201-1400, dan melonjak ke kedudukan 427 dalam QS Asia Rankings 2026, berbanding 501-520 tahun sebelumnya.
Beliau berkata sehingga 30 Sept 2025, Kadar Bekerja Graduan UMK mencapai 97.2 peratus manakala Kadar Kebolehpasaran Graduan berada pada 96.7 peratus dan 12.21 peratus daripada graduan menjadi usahawan.
“Pencapaian ini membuktikan UMK berada di landasan tepat ke arah merealisasikan misi sebagai Universiti Keusahawanan Terunggul ASEAN pada 2026 dan Asia menjelang 2030,” katanya.
Menurut Arham, bagi menyediakan bakat masa depan negara, UMK telah menawarkan tempat kepada 167 graduan kelas pertama untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) melalui laluan pantas (fast track) tahun ini.
Beliau turut berpesan kepada para graduan agar menjaga nama baik UMK dan mengamalkan nilai integriti serta tanggungjawab, selain terus menyumbang kepada masyarakat dengan ilmu dan kepakaran masing-masing.
-- BERNAMA
