KUALA NERUS, 10 Nov (Bernama) -- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Fakulti Sains dan Sekitaran Marin (FSSM) menerima dana kira-kira RM460,000 daripada badan antarabangsa, Coral Research & Development Accelator Platform (CORDAP) bagi projek pemulihan terumbu karang secara terus di lautan.
Penyelidik UMT yang juga ketua projek Larval-Highway: A Scalable Larval Collection With Targeted Settlement System for Reef Rehabilitation (Larval-Highway) Prof Madya Dr Tan Chun Hong berkata pemberian dana itu adalah satu pengiktirafan terhadap kepakaran penyelidik UMT dalam bidang ekologi karang tropika dan pemuliharaan marin.
Beliau berkata projek berkenaan akan dilaksanakan secara kerjasama dengan Prince of Songkla University, Thailand dan Reef Check Malaysia.
"Projek Larval-Highway direka bagi memperkasakan pemulihan terumbu karang secara semula jadi dengan menggunakan kuasa arus laut untuk menyebarkan larva ke kawasan terumbu yang terjejas.
"Dengan kos yang rendah dan impak karbon yang minimum, sistem ini mampu menjadi model pemulihan karang yang mampan bukan sahaja untuk Malaysia, tetapi rantau Asia Tenggara.
"Pendekatan yang mesra alam membolehkan pemulihan karang berskala besar dijalankan dengan jejak karbon yang minimum. Di samping itu, projek ini juga memberi peluang kepada komuniti tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan terlibat secara aktif dalam usaha pemulihan ekosistem marin," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Naib Canselor UMT Prof Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata pelaksanaan projek Larval-Highway bukan sahaja memperkukuh kedudukan UMT sebagai peneraju penyelidikan di rantau ini, tetapi juga menyumbang secara langsung kepada usaha pemulihan karang di seluruh wilayah Segi Tiga Terumbu Karang, iaitu satu daripada kawasan biodoversiti marin terkaya di dunia.
Beliau berkata hanya projek berpotensi tinggi dan memberi impak global kepada konservasi marin terpilih menerima dana terbabit.
"CORDAP merupakan platform antarabangsa di bawah inisiatif global G20 yang menyokong penyelidikan dan pembangunan teknologi bagi mempercepat pemulihan terumbu karang di dunia.
"Hanya projek yang mempunyai potensi tinggi untuk memberi impak global kepada konservasi marin dipilih menerima dana berprestij ini," katanya.
-- BERNAMA
