EKONOMI

RINGGIT CECAH RM4.16, MUNCUL SEBAGAI MATA WANG BERPRESTASI TERBAIK DI ASIA - PM ANWAR

11/11/2025 12:36 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Ringgit kini didagangkan pada RM4.16 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sekali gus muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata prestasi ringgit itu dapat dicapai walaupun kerajaan sebelum ini dikecam apabila mata wang domestik mengalami penyusutan berbanding dolar AS.

“Dulu kita diserang bertubi-tubi (kerana) ringgit jatuh (tetapi) sekarang bila ringgit mengukuh, tak sebut sepatah pun (pujian), inilah masalahnya. Jadi, sekarang ini, (paras ringgit) RM4.16 berbanding satu dolar AS dan muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia,” kata beliau ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata penilaian itu bukan ditentukan oleh kerajaan sebaliknya susulan penarafan kredit positif oleh agensi penarafan antarabangsa, S&P Global Ratings dan Moody’s Ratings yang masing-masing mengekalkan penarafan kredit berdaulat negara pada A- dan A3, yang membawa makna prospek yang stabil dan kukuh.

Pada 6 petang semalam, ringgit meningkat 0.4 peratus kepada 4.1555/1635 berbanding dolar AS daripada 4.1735/1775 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.

Angka itu menjadi paras tertinggi ringgit dalam tempoh 13 bulan selepas mencatatkan 4.1625 pada 2 Okt, 2024.

Setakat 8.01 pagi hari ini, ringgit meningkat kepada 4.1540/1660 berbanding dolar AS daripada 4.1555/1635 ketika ditutup semalam.

Anwar berkata demikian bagi menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai cara kerajaan mengukur keberkesanan pelaksanaan Dasar Ekonomi MADANI selepas tempoh 18 hingga 24 bulan serta usaha pengukuhan yang sedang dan akan dilaksanakan bagi memastikan dasar tersebut benar-benar mencapai matlamatnya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan