KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Penguatkuasaan tegas dan berani oleh pelbagai agensi kerajaan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini disifatkan sebagai yang paling berkesan dalam sejarah selepas berjaya memulihkan ketirisan negara berjumlah RM15.5 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kejayaan itu adalah hasil tindakan bersepadu tanpa kompromi melalui pasukan petugas pelbagai agensi (multi-agency task force) melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta beberapa agensi lain.
“Kalau tiada penguatkuasaan yang berkesan, mustahil kutipan RM15 bilion dapat dilakukan. Penguatkuasaan tegas dan berani, dan setakat yang saya tahu, ini adalah yang paling efektif dalam sejarah.
“Berdasarkan rekod rampasan, penyeludupan dan lain-lain tindakan penguatkuasaan, jumlahnya memang mencapai RM15 bilion. Sebab itu saya memberikan penghargaan khas kepada semua pasukan penguatkuasaan atas usaha mereka,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Sri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) yang mempersoalkan mengapa tiada tindakan penguatkuasaan yang tegas sejak dahulu serta jumlah pendakwaan yang telah dilaksanakan.
Anwar menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dalam sebarang bentuk rasuah, penyeludupan atau kegiatan penipuan dalam talian (scammer), malah sebanyak 20 kes telah dibawa ke mahkamah dan tindakan susulan sedang diteruskan oleh Peguam Negara.
Mengulas lanjut Perdana Menteri berkata keberanian agensi terbabit menentang kartel berpengaruh, termasuk kumpulan kongsi gelap dan sindiket jenayah antarabangsa, hanya dapat dilaksanakan dengan sokongan politik yang tegas serta jaminan perlindungan daripada kepimpinan tertinggi kerajaan.
“Bukan mudah, mereka berdepan syarikat besar dan kartel berpengaruh. Mereka memerlukan dukungan dan tekad politik yang jelas. Sebab itu dari akhir 2023 sampai 2025, kita dapat elakkan ketirisan, rasuah dan penyeludupan, itu yang membawa kepada kutipan RM15.5 bilion.
“Bayangkan ketirisan berlaku begitu banyak sebelum ini, berlaku bertahun-tahun, bukan tiga tahun sahaja,” katanya.
Perdana Menteri berkata usaha membersihkan negara daripada rasuah, ketirisan dan penyeludupan akan diteruskan termasuk memperkukuh penggunaan peralatan penguatkuasaan yang lebih canggih di sempadan negara.
Ini termasuk penggunaan sistem digital, kamera litar tertutup (CCTV), kamera badan, mesin pengimbas kargo dan penubuhan Centralized Screening Complex bagi memperkukuh kawalan sempadan, katanya.
Beliau menjelaskan bahawa hasil rampasan dan pemulihan aset itu disalurkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan sebelum diagih mengikut keperluan perbelanjaan negara bagi sektor utama termasuk pendidikan, kesihatan dan pertahanan.
Sementara itu, Perdana Menteri memberi jaminan akan meneliti cadangan supaya sebahagian kecil hasil rampasan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) diperuntukkan bagi membantu pemulihan penagih dadah melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan program komuniti.
“Saya setuju dan akan beri pertimbangan…sebahagian boleh diperuntukkan untuk program pemulihan dadah,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi).
-- BERNAMA
