KUALA TERENGGANU, 11 Nov (Bernama) - Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menggunakan laluan sementara Felda Aring-Tasik Kenyir yang dibina secara tidak rasmi kerana ia tidak selamat digunakan terutama pada musim hujan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar (Pengurusan Bencana) negeri Hanafiah Mat berkata laluan itu bukan untuk kegunaan orang awam.
“Jalan itu dibina oleh sebuah syarikat bagi memudahkan urusan harian mereka tetapi ada juga orang awam yang menumpang lalu. Saya harap pengguna jalan raya dapat elak menggunakan laluan itu sehingga pembinaan jalan baharu siap sepenuhnya,” katanya pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mengambil risiko menggunakan laluan tidak rasmi berkenaan meskipun tiada insiden tidak diingini dilaporkan setakat ini.
“Kalau berlaku apa-apa insiden di laluan itu, maka ia menjadi tanggungjawab sendiri kerana bukan di bawah penyeliaan kerajaan negeri,” katanya.
Mengulas lanjut, Hanafiah berkata kerja-kerja pembinaan jalan baharu di kawasan berkenaan telah dibuka untuk tender dan akan ditutup esok dengan anggaran kos RM36 juta.
Beliau berkata projek di bawah seliaan Kementerian Kerja Raya itu melibatkan skop kerja pembinaan laluan sementara, kerja geoteknikal, pembinaan jambatan, jalan, longkang serta pemasangan perabot jalan.
Menurut Hanafiah, Surat Setuju Terima dijangka dikeluarkan pada Februari 2026 sebelum kerja penilaian harga dibuat sekitar April hingga Mei.
“Jika semuanya berjalan lancar, kerja pembinaan dijangka bermula sekitar Oktober tahun depan,” katanya.
-- BERNAMA
