EKONOMI

BURSA MALAYSIA DITUTUP TINGGI SUSULAN DATA EKONOMI POSITIF DORONG KEYAKINAN PELABUR

10/11/2025 07:44 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup tinggi pada Isnin, disokong oleh data ekonomi domestik dan global yang semakin positif sekali gus mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap prospek pertumbuhan jangka pendek Malaysia.

Pengarah, Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata indeks penanda aras FBM KLCI meningkat berikutan sentimen pasaran yang bertambah baik, mencerminkan keyakinan terhadap pasaran buruh negara yang kukuh, peningkatan ringgit serta persekitaran risiko global yang lebih stabil.

Selain itu, ekuiti Asia turut mencatat kenaikan hari ini disokong oleh harapan terhadap rundingan yang bakal menamatkan penutupan kerajaan Amerika Syarikat.

Menurut laporan, Senat AS telah meluluskan peringkat pertama rundingan berkenaan lewat malam Ahad bagi menamatkan penutupan kerajaan yang bermula pada 1 Oktober lepas, katanya.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 8.25 mata atau 0.51 peratus kepada 1,627.38 berbanding 1,619.13 ketika ditutup pada Jumaat.

Indeks penanda aras itu dibuka 2.40 mata lebih tinggi pada 1,621.53 dan bergerak dalam julat antara 1,620.49 hingga 1,633.52 sepanjang sesi dagangan.

Sentimen pasaran adalah positif dengan 601 kaunter untung mengatasi 470 kaunter rugi, manakala 585 kaunter tidak berubah, 1,004 kaunter tidak didagangkan dan sembilan digantung dagangan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.92 bilion unit bernilai RM2.28 bilion berbanding 3.53 bilion unit bernilai RM2.35 bilion pada Jumaat lepas.

Mohd Sedek berkata data tenaga kerja terkini yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengesahkan kekukuhan asas ekonomi domestik.

Katanya perkembangan berterusan ini menandakan pemulihan kukuh dalam permintaan isi rumah serta menyerlahkan peranan penting pasaran buruh dalam memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia menjelang akhir tahun.

Di samping itu, sentimen pelabur turut disokong oleh pengukuhan ringgit, dipacu oleh petunjuk makroekonomi yang stabil dan aliran masuk portfolio yang lebih kukuh, kata beliau.

“Secara keseluruhannya, prestasi pasaran hari ini mencerminkan interaksi antara asas domestik yang teguh dan isyarat yang menandakan makro global semakin baik. Pasaran ekuiti Malaysia dilihat berada pada kedudukan baik untuk mengekalkan momentum positif sehingga suku terakhir 2025,” katanya kepada Bernama.

Antara kaunter wajaran tinggi, Maybank naik 3.0 sen kepada RM9.94, CIMB menambah 5.0 sen kepada RM7.58, Tenaga Nasional meningkat 12 sen kepada RM13.34, Public Bank kekal pada RM4.27, manakala IHH Healthcare susut 6.0 sen kepada RM8.22.

Bagi kaunter aktif, MMAG naik 1.0 sen kepada 9.5 sen, Perak Transit menambah setengah sen kepada 29.5 sen, Pharmaniaga susut setengah sen kepada 26 sen, manakala Zen Tech dan EA Holdings kekal tidak berubah pada setengah sen masing-masing.

Dalam kalangan kaunter untung tertinggi, Fraser & Neave meningkat RM1.16 kepada RM28.76, Malaysian Pacific Industries naik RM1.02 kepada RM31.10, Kuala Lumpur Kepong menambah 4.0 sen kepada RM21.12, dan Hong Leong Industries naik 32 sen kepada RM15.06.

Sementara itu, kaunter rugi utama, Nestle susut 40 sen kepada RM112.00, United Plantations turun 20 sen kepada RM25.38, UMS Integration merosot 10 sen kepada RM4.76, dan PIE Industries susut 16 sen kepada RM2.73.

Di papan indeks, Indeks FBMT 100  meningkat 49.14 mata kepada 11,842.62, Indeks FBM Emas naik 50.51 mata kepada 12,084.58, dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 63.09 mata kepada 12,111.42.

Indeks FBM ACE meraih 50.12 mata kepada 5,100.85, manakala Indeks FBM Mid 70 menokok 22.88 mata kepada 16,949.72.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 17.24 mata kepada 8,120.32, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 74.99 mata kepada 18,412.23, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.48 mata kepada 168.88, manakala Indeks Tenaga susut 5.76 mata kepada 760.70.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 1.29 bilion unit bernilai RM1.77 bilion daripada 1.51 bilion unit bernilai RM1.93 bilion pada Jumaat lepas.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.88 bilion unit bernilai RM347 juta berbanding 1.49 bilion unit bernilai RM283.58 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE berkembang kepada 821.51 juta unit bernilai RM172.37 juta daripada 527.09 juta unit bernilai RM135.70 juta sebelumnya.

Saham sektor produk pengguna dan perkhidmatan menyumbang 296.04 juta unit yang didagangkan di Pasaran Utama, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (206.64 juta), pembinaan (72.90 juta), teknologi (208.20 juta), perkhidmatan kewangan (37.43 juta), hartanah (160.75 juta), perladangan (30.23 juta), amanah pelaburan hartanah (17.28 juta), dana tertutup (20,200), tenaga (69.60 juta), penjagaan kesihatan (91.97 juta), telekomunikasi dan media (46.82 juta), pengangkutan dan logistik (43.10 juta), utiliti (15.78 juta), dan amanah perniagaan (431,600).

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan