POLITIK

DAP SEDIA HADAPI PRU16 JIKA DIADAKAN LEBIH AWAL - GOBIND

16/11/2025 03:51 PM

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- DAP bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sekiranya ia diadakan awal daripada jangkaan, kata Pengerusi DAP Kebangsaan Gobind Singh Deo.

“Apabila Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) berpendapat bahawa masanya sesuai dan memanggil pilihan raya, kami dalam DAP akan bersedia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2025 di sini hari ini.

Mandat Kerajaan MADANI yang dibentuk hasil gabungan parti politik termasuk Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional, Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS), dan Warisan akan berakhir pada 2027.

Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang sedang berlangsung, Gobind berkata ia menjadi penanda aras kepada PH menjelang PRU16 akan datang.

Terdahulu, berucap pada konvensyen berkenaan, beliau menyeru seluruh ahli parti untuk kekal bersatu dan terus berusaha bagi meraih kemenangan.

“Kita mesti terus berpegang teguh pada asas perjuangan kita dan melangkah ke hadapan demi sebuah Malaysia yang lebih gemilang untuk semua,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan