AM

POPULASI WARGA EMAS DIJANGKA MENINGKAT KEPADA 14 PERATUS MENJELANG 2048

16/11/2025 05:43 PM

KOTA BHARU, 16 Nov (Bernama) -- Golongan warga emas dijangka merangkumi kira-kira 14 peratus daripada populasi Malaysia menjelang 2048, kata Pengarah Bahagian Pencen, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Datuk Mohd Shahrim Hussin.

Beliau berkata bagi menghadapi impak negara tua itu, kerajaan telah melancarkan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025-2045, yang menggunakan pendekatan sepanjang hayat untuk mempersiapkan Malaysia menghadapi perubahan demografi.

“Rangka tindakan ini menekankan enam bidang utama iaitu ekonomi, pekerjaan, pendidikan, perlindungan sosial, kesihatan dan penjagaan jangka panjang. Ia menjadi panduan JPA dalam usaha menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kepada pesara,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah MyPesara 2025 sempena Karnival MyPesara di sini hari ini.

Beliau berkata melalui pendigitalan proses pencen, pemantapan data pesara dan kerjasama antara agensi, matlamat JPA adalah memastikan setiap pesara menerima manfaat dengan cepat dan cekap, selaras aspirasi JPA sebagai Peneraju Pembaharuan, Penggerak Perubahan.

Mengulas mengenai karnival dan majlis anugerah berkenaan, Mohd Shahrim berkata inisiatif itu menunjukkan komitmen JPA mendekati komuniti pesara secara lebih holistik melalui pengiktirafan, sokongan dan penglibatan masyarakat.

“Karnival MyPesara membolehkan kami berhubung secara langsung dengan pesara di seluruh negara. Setiap tahun, karnival ini dibawa ke wilayah berbeza untuk memastikan semua pesara berasa disantuni.

“Anugerah MyPesara 2025 pula adalah anugerah pertama seumpamanya yang mengiktiraf pesara sektor awam yang memberi impak positif dalam bidang Pendidikan, Khidmat Sosial dan Komuniti atau Keusahawanan,” katanya.

Sementara itu, pada Anugerah MyPesara 2025, pemenang utama bagi Kategori Khidmat Sosial dan Komuniti ialah pengasas Min House Camp Wan Noriah Wan Ramli, 69, yang membawa pulang wang tunai RM60,000.

Pengasas The Plot Dr Abas Mazni Othman pula memenangi kategori Keusahawanan, manakala Prof Emeritus Dr Mohamad Mokhtar Abu Hassan diiktiraf dalam Kategori Pendidikan.

Karnival yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat itu menampilkan pelbagai aktiviti yang mempromosikan penuaan aktif, pemerkasaan kewangan dan kesejahteraan komuniti, selaras prinsip MADANI Rakyat Disantuni.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan