AM

FAHMI KETUAI DELEGASI MALAYSIA KE WTDC-25 DI BAKU

16/11/2025 04:24 PM

Daripada Rosmalis Anuar

BAKU (Azerbaijan), 16 Nov (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Sedunia 2025 (WTDC-25) bermula hari ini sehingga 19 Nov.

Persidangan ini dianjurkan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dan Azerbaijan sebagai tuan rumah dengan mengangkat tema “Universal, Meaningful, and Affordable Connectivity for an Inclusive and Sustainable Digital Future,". WTDC-25 dijangka menarik lebih 1,500 peserta termasuk ketua negara, menteri, dan delegasi kanan dari seluruh dunia.

Menurut jadual, Fahmi dijangka menyampaikan kenyataan Malaysia pada sesi peringkat tinggi persidangan itu pada Selasa.

Beliau juga dijangka mengadakan  mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat daripada beberapa negara termasuk Azerbaijan, Bahamas, Brazil, Bulgaria, India, Iran, Samoa, Afrika Selatan, Uganda, dan Uzbekistan.

Beliau turut akan menyaksikan pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Agensi Telekomunikasi Nasional Brazil (ANATEL).

Selain itu, Fahmi dijadual menghadiri Majlis Makan Malam Sambutan Ketua Delegasi Negara Ahli ITU dan bertemu komuniti Malaysia di Azerbaijan.

Penyertaan beliau dalam WTDC-25 adalah sebahagian daripada usaha Malaysia untuk mengekalkan kerusi ahli Majlis ITU bagi penggal 2027-2030.

Pada Persidangan Peringkat Tinggi World Summit on the Information Society+20 (WSIS+20) di Geneva pada 9 Julai lepas, Fahmi secara rasmi mengumumkan pencalonan Malaysia untuk pemilihan semula ke majlis tersebut, menekankan peranan aktif negara dalam ITU.

Malaysia kini merupakan ahli Majlis ITU bagi penggal 2023–2026, yang membolehkan negara menyumbang kepada pembentukan dasar strategik ITU serta mewakili kepentingan rantau Asia dalam memajukan telekomunikasi dan infrastruktur digital.

ITU merupakan agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam bidang telekomunikasi dan teknologi digital yang bertanggungjawab memperuntukkan spektrum frekuensi radio, membangunkan piawaian antarabangsa bagi memastikan kebolehoperasian rangkaian komunikasi, serta berperanan merapatkan jurang digital di seluruh dunia.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan