AM

MK CURTAIN GROUP PERLUAS PERNIAGAAN, MK GIFT & GIVE TAWAR CENDERAHATI PREMIUM BERKUALITI

16/11/2025 05:15 PM

NILAI, 16 Nov (Bernama) -- MK Curtain Group mengorak langkah strategik dengan melancarkan cabang perniagaan baharu MK Gift & Give, menawarkan rangkaian hadiah lengkap untuk perkahwinan, musim perayaan, cenderahati korporat eksklusif serta barangan kreatif pada harga mampu milik.

Pengasas Bersama MK Curtain Group Datin Moon Sze Fui berkata syarikat berpengalaman 20 tahun itu memperkenalkan perniagaan berkenaan bagi memenuhi permintaan pasaran serta dapat memperluas portfolio gaya hidup dan pendekatan nilai tambah kepada pelanggan.

MK Gift & Give terletak di kawasan perindustrian Nilai menawarkan barangan hadiah berkualiti, moden dan penuh dengan nilai sentimental untuk pelbagai majlis serta keperluan pelanggan termasuk hadiah seperti pakaian, wangian rumah, perhiasan rumah, koleksi pinggan mangkuk serta bunga. 

“Kami mempunyai banyak pelanggan setia dan sentiasa menyokong produk MK Curtain. Bagi meneruskan keyakinan ini, MK Gift & Give ini bukan sahaja menawarkan produk berkualiti tetapi mencipta satu kenangan yang amat berharga,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Terdahulu, Pengerusi MK Curtain Berhad Datuk Dr Calvin Khiu merasmikan pembukaan MK Gift & Give di sini hari ini.

Usahawan wanita berusia 42 tahun itu menyifatkan sektor perniagaan bagi barangan cenderahati di negara ini menunjukkan perkembangan dan saingan positif, didorong oleh gaya hidup moden dan budaya menukar hadiah dalam pelbagai majlis terutamanya pada musim perayaan dan perkahwinan. 

Moon berkata kedudukan premis perniagaan sangat strategik, berdekatan hab tekstil dan barangan hiasan rumah turut mengukuhkan indikasi terhadap permintaan kukuh serta berterusan daripada pelanggan untuk mendapatkan cenderahati moden dan berkualiti tinggi.

“Kami juga akan menawarkan pelbagai produk cenderahati yang bersesuaian sambutan atau perayaan di negara ini seperti Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, sambutan Krismas dan Hari Valentine bagi mereka yang meraikannya,” katanya, sambil menambah harga bermula serendah RM10 mengikut cita rasa pelanggan.

Beliau berkata bagi memastikan perniagaan baharu itu terus berdaya saing, syarikat berkenaan akan memasarkan barangan cenderahati itu di 60 cawangan MK Curtain di seluruh negara bagi memastikan pelanggan mendapat akses mudah kepada rangkaian produk ditawarkan.

Moon berkata menerusi pelancaran perniagaan baharu itu, MK Curtain Group dapat memperkukuhkan kedudukan syarikat sebagai peneraju gaya hidup dan peruncitan dengan menawarkan ruang membeli-belah serba moden, tersusun dan menyediakan pilihan produk lebih menarik serta eksklusif.

Moon berkata syarikat turut menampilkan pembelian hadiah yang komprehensif seperti hadiah perkahwinan dan doorgift iaitu set premium, kotak hantaran, gubahan moden dan rekaan elegan berserta hadiah eksklusif untuk pasangan pengantin.

Beliau berkata perniagaan itu juga menawarkan perkhidmatan cenderahati buatan khas mengikut tema dan konsep acara yang diingini, pada harga berpatutan untuk memenuhi keperluan pelanggan individu mahupun syarikat.

Dalam pada itu, Calvin berkata MK Gift & Give dapat memperkukuhkan pengalaman pelanggan, sambil menekankan konsep berkongsi kebaikan melalui pemberian hadiah bukan sahaja simbol penghargaan malah mampu mengeratkan hubungan tanpa mengira bangsa dan agama.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan