Oleh Mikhail Raj Abdullah
KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Ribuan pekerjaan di Malaysia mungkin dapat diselamatkan melalui Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang dimeterai antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).
Perkara itu sememangnya menjadi antara keutamaan Malaysia dalam rundingan dengan AS untuk mengurangkan tarif sejak tarif “Hari Pembebasan” diumumkan pada April lepas.
Sebagai negara yang berorientasi eksport, Malaysia menyasar untuk mengekalkan kos perniagaan pada paras yang rendah di samping terus memperkukuh aktiviti eksport seperti yang diharapkan sektor perniagaan domestik.
Malaysia akhirnya berhasil apabila tarif dikurangkan daripada 24 hingga 25 peratus kepada 19 peratus menerusi rundingan dan ART dimeterai dengan AS di sini ada 26 Okt, 2025.
Pengurangan tarif kepada 19 peratus itu meletakkan Malaysia berada di gelanggang persaingan yang lebih seimbang, jika tidak menjadi lebih baik, terutama berbanding negara jiran yang mempunyai profil eksport yang sama.
Perniagaan di sini juga mengharapkan pasukan rundingan Malaysia yang diketuai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz melihat keseluruhan situasi bukan secara emosi, sebaliknya bersandarkan objektif.
Sektor perniagaan memerlukan kepastian supaya mereka boleh merancang dan menyusun strategi kos masing-masing.
Oleh yang demikian, perjanjian dengan AS tersebut memberi kepastian itu kepada kalangan perniagaan.
Perlu diingat, Malaysia ialah antara rakan dagang terbesar AS dan kerap merekodkan lebihan dagangan dengan Washington.
Tahun lepas, jumlahnya kira-kira US$25 bilion dan berkurangan daripada angka pada empat tahun sebelum itu yang mencecah US$40 bilion.
Jumlahnya semakin mengecil namun, Malaysia masih kekal berada dalam kelompok 15 teratas yang mencatatkan lebihan dagangan tertinggi dengan AS.
Presiden Donald Trump pula dengan jelas menyatakan rundingan tarif itu bertujuan mengimbangi kepentingan ekonomi AS menerusi langkah mengurangkan defisit dengan rakan dagang.
AS merupakan pasaran eksport terbesar Malaysia dengan jualan produk bernilai RM200 bilion, terutama semikonduktor, yang menjadi tulang belakang ekonomi eksport negara.
Pelaburan bilateral juga besar.
Sejak era 80-an, AS telah melabur RM225 bilion di Malaysia dan mereka ialah pelabur terbesar di sini, malah lebih besar daripada China.
Jelas di sini, ekonomi AS dan Malaysia amat berkait rapat.
Oleh itu, dalam polemik berterusan mengenai ART, warga Malaysia perlu melihat semua dimensi keseluruhan ekosistem dengan teliti mengenai eksport ke AS.
Ribuan pekerjaan sama ada secara langsung atau tidak langsung, mungkin bergantung kepada perdagangan dan pelaburan dengan AS, kuasa terbesar ekonomi dunia.
Kita tidak boleh hanya bergantung kepada permintaan domestik, apatah lagi ekonomi kita adalah sebuah ekonomi yang terbuka.
Satu persoalan yang pengkritik ART sewajarnya tanya: Apakah yang akan terjadi kepada Malaysia, sekiranya kita tidak berunding dengan AS sedangkan negara lain melakukan sebaliknya?
Malah kuasa besar ekonomi seperti China turut berunding dengan AS, begitu juga ekonomi utama lain seperti Kesatuan Eropah, Jepun, Korea Selatan dan negara jiran yang telah sekian lama menjadi sekutu AS, Kanada.
Sebagai negara berorientasi eksport, Malaysia perlu sentiasa praktikal dari segi pandangan dan hubungan ekonomi dengan kalangan rakan dagang.
Mengenai beberapa terma dalam perjanjian itu, memang jelas dalam satu daripada klausanya bahawa Malaysia tidak sepatutnya melakukan sesuatu dengan mana-mana pihak lain yang bertentangan dengan kepentingan AS.
Contohnya, Malaysia mungkin berbincang dengan Rusia atau China untuk meneroka potensi bagi perjanjian tenaga nuklear justeru, dalam situasi seperti itu, AS menegaskan pihaknya perlu diberikan peluang yang adil, dan itu merupakan permintaan yang wajar.
Malaysia pula akan berurusan dengan negara yang memberikan tawaran terbaik, dan perjanjian itu jelas tidak menghalang Malaysia daripada membeli infrastruktur atau peralatan nuklear dari negara lain.
Pada masa sama, kritikan yang membandingkan ART yang dimeterai Malaysia dengan ART ditandatangani Kemboja pula sebenarnya tidak membuat perbandingan yang sama atau “epal sama epal”.
Kemboja mendapat layanan istimewa bagi perjanjian itu, begitu juga dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) kerana dianggap sebagai negara kurang membangun (LDC).
Oleh yang demikian, keadaan itu memangnya boleh difahami apabila Washington memberikan layanan yang agak berbeza dan sedikit lebih longgar kepada Kemboja.
Sebaliknya, Malaysia ialah rakan strategik AS, dan ART mencerminkan status Malaysia sebagai rakan rantaian bekalan yang dipercayai dan terjamin.
Perkara yang AS mahukan adalah peluang yang sama rata. Contoh, dalam hal cukai digital, jika Kementerian Kewangan memberikan pelepasan atau pengecualian apa-apa cukai kepada pihak lain, syarikat AS juga sepatutnya boleh mendapatkan insentif yang sama.
Itu sekali lagi adalah permintaan yang adil.
Pemeteraian ART itu menunjukkan Malaysia perlu mempercepat usaha mempelbagaikan ekonomi.
Kita tidak boleh terlalu bergantung kepada pasaran dan rakan tradisi kerana dinamik global sentiasa berubah.
Usaha memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan adalah sangat penting supaya manfaatnya dapat dinikmati sebanyak mungkin segmen masyarakat dan industri.
Kadangkala itu perlu membuat keputusan yang sukar dan tidak populis, termasuk memuktamadkan perjanjian perdagangan yang mendapat begitu banyak kritikan.
Pada akhirnya, objektif yang kekal adalah memastikan manfaat kepada ekonomi Malaysia dan warganya dalam jangka masa panjang.
-- BERNAMA
