AM

KELANTAN, PLANMALAYSIA AMBIL LANGKAH STRATEGIK PULIH BANDAR LAMA

16/11/2025 08:23 PM

KOTA BHARU, 16 Nov (Bernama) -- Kerajaan Kelantan dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) akan mengambil langkah strategik bagi memulihkan bandar-bandar lama yang uzur, dengan Pasir Mas menjadi tumpuan utama.

Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa Datuk Dr Alias Rameli berkata walaupun pembangunan baharu sedang rancak, realiti di lapangan menunjukkan masih terdapat bandar lama yang memerlukan perhatian khusus.

Beliau berkata Pasir Mas suatu masa dahulu terkenal dengan pusat tumpuan, meriah dan menjadi destinasi keluarga penduduk dari negeri-negeri berjiran kerana terletak di sempadan Malaysia-Thailand.

"Bandar itu bagaimanapun kini agak lesu dan perlu digiatkan semula secara menyeluruh dan beberapa kawasan di bandar itu perlu dipulihkan.

"Aspek revitalize yang diperlukan merangkumi landskap, laluan pejalan kaki, jalan raya, penyusunan semula aliran trafik serta pembangunan taman awam," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Kelantan di sini hari ini.

Alias berkata bandar lama ini diharap berfungsi sepenuhnya sebagai zon ekonomi, sosial dan pelancongan dengan pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal menjadi faktor kritikal dalam menghidupkan semula Pasir Mas.

Beliau berkata dengan stesen utama di Tunjong dan cadangan landasan tambahan menuju Rantau Panjang, limpahan ekonomi diyakini mampu sampai ke Pasir Mas secara langsung.

Bagi memastikan pembangunan lebih tersusun, semua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan diberikan pelan tindakan khas bagi memudahkan permohonan dana pembangunan daripada kerajaan negeri atau Persekutuan.

“Kami ada menyediakan pelan, dokumen, malah pelbagai skim pembiayaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan seperti projek bandar selamat, bandar pintar dan pembinaan Taman Rekreasi MADANI yang dianggarkan bernilai RM500,000," katanya.

Alias berkata namun PBT perlu membuat permohonan peruntukan untuk perkara berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan