KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Penyerang Negeri Sembilan FC Luqman Hakim Shamsudin menyifatkan kepulangan beliau ke skuad Harimau Malaya sebagai rezeki besar selepas lebih setahun bergelut dengan kecederaan hamstring yang sedikit menjejaskan kariernya.
Beliau berkata tiada istilah lewat dalam menyahut panggilan negara selepas menjadi antara pemain diberi kepercayaan untuk menyertai kem latihan pusat kendalian ketua jurulatih Peter Cklamovski menjelang saingan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal, Selasa ini.
“Ini satu peluang untuk saya tunjuk bahawa saya boleh bersaing dengan rakan-rakan lain. Sebelum ini perjalanan bola sepak saya ada turun naik, jadi itu pengalaman yang mematangkan.
“Alhamdulillah setelah sekian lama, tak silap saya hampir setahun lebih saya tidak dapat panggilan skuad kebangsaan, saya rasa bangga dan bertuah untuk diri saya dan sangat gembira,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Luqman Hakim dipanggil menyertai kem skuad negara bagi menggantikan penyerang Kuching City FC Jordan Mintah yang terpaksa menarik diri akibat masalah kesihatan.
Kali terakhir Luqman Hakim bersama skuad kebangsaan adalah pada 2022 ketika Harimau Malaya menentang Singapura dalam aksi persahabatan antarabangsa.
Beliau turut percaya latihan intensiti tinggi setelah lima hari menyertai kem latihan pusat, membantu mengembalikan rentak permainannya serta bersifat terbuka beraksi di mana sahaja posisi yang diberikan Cklamovski.
-- BERNAMA
