KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Untung bersih Public Bank Bhd merosot kepada RM1.84 bilion pada suku ketiga yang berakhir 30 Sept, 2025 daripada RM1.91 bilion dalam tempoh sama tahun lepas disebabkan oleh kesan pendapatan bukan cukai yang lebih rendah.
Public Bank dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata perolehan kumpulan meningkat kepada RM7.41 bilion daripada RM6.80 bilion sebelumnya.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama yang berakhir 30 Sept, 2025, Public Bank mencatatkan untung bersih sebanyak RM5.34 bilion manakala perolehan berkembang kepada RM22.08 bilion daripada RM20.14 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Mengenai bahagian pembiayaan, Public Bank berkata jumlah deposit pelanggan kumpulan menokok pada kadar tahunan sebanyak 4.0 peratus kepada RM446.2 bilion, disokong oleh pertumbuhan berterusan dalam deposit teras.
"Akaun semasa dan akaun simpanan kumpulan mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 3.9 peratus yang seterusnya mengukuhkan asas pembiayaan kos rendahnya.
"Public Mutual terus menguasai saham pasaran runcit domestik utama iaitu sebanyak 34.0 peratus dengan nilai aset bersih sebanyak RM107.1 bilion daripada 185 dana unit amanah di bawah pengurusannya setakat hujung September 2025," tambahnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Dr Tay Ah Lek berkata di sebalik suasana yang mencabar, kumpulan terus mencatatkan pertumbuhan yang konsisten dalam pinjaman dan deposit.
"Disokong oleh pengurusan kos dana yang proaktif dan pertumbuhan sinergi dalam pendapatan bukan faedah, kumpulan terus mencatatkan prestasi yang stabil sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini.
"Daya tahan kumpulan turut terserlah dalam pulangan bersih ke atas ekuiti yang aktif iaitu sebanyak 12.6 peratus yang menggariskan asas kukuh kumpulan serta keupayaannya untuk mengekalkan penciptaan nilai," katanya.
Mengenai prospek, Public Bank berkata walaupun berdepan dengan cabaran dari persekitaran global, ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang disokong oleh permintaan domestik, aktiviti pelaburan, eksport yang stabil serta perbelanjaan pelancongan yang aktif.
Namun, ia berkata perkembangan global seperti tarif berkaitan perdagangan dan ketidaktentuan harga komoditi kekal sebagai risiko penurunan yang berpotensi terhadap prospek ekonomi domestik.
Tay berkata dalam persekitaran operasi yang lebih kompleks dengan cabaran yang baharu, ketahanan merupakan kunci kepada kemampanan dan kestabilan.
"Kumpulan Public Bank akan terus berwaspada dalam pendekatan perniagaannya sambil membina kekuatan terasnya.
"Kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada pertumbuhan sinergi, pengurusan risiko yang kukuh dan tadbir urus korporat yang baik untuk kekal relevan dalam persekitaran perniagaan yang dinamik pada hari ini," katanya.
-- BERNAMA
