POLITIK

BN ADAKAN PERBINCANGAN DENGAN MIC SELEPAS PRN SABAH

18/11/2025 04:40 PM

MEMBAKUT, 18 Nov (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) akan mengadakan perbincangan bersama kepimpinan tertinggi MIC selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perbincangan itu diharap dapat menjernihkan sebarang kekeliruan atau salah faham berkaitan kedudukan parti berkenaan dalam gabungan tersebut.

“Kita akan jumpa... saya sendiri akan berusaha untuk berjumpa dengan kepimpinan tertinggi MIC agar kita dapat menyelesaikan segala kekusutan,” katanya kepada pemberita selepas bertemu jentera BN di Pusat Daerah Mengundi Binsulok bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut di sini hari ini.

Mohamad berkata beliau yakin MIC akan membuat pertimbangan terbaik berdasarkan hubungan akrab yang terjalin sejak sekian lama iaitu sebelum negara mencapai kemerdekaan.

“Saya yakin kepimpinan tertinggi MIC akan memikirkan sebaik mungkin dan sedalam-dalamnya kerana MIC merupakan parti yang bersama-sama dengan UMNO dan juga MCA semasa kita memerdekakan tanah air,” katanya.

Beliau berkata persahabatan dan kerjasama politik yang telah lama terjalin seharusnya tidak dibiarkan terjejas hanya kerana perbezaan pandangan.

“Jadi, jika ada apa-apa salah faham atau perkara yang perlu dijelaskan… elok kita bawa berunding supaya persahabatan yang telah lama terbina ini tidak terputus begitu saja,” katanya.

Kontroversi mengenai masa depan MIC dalam BN timbul selepas para perwakilan pada Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 di Shah Alam baru-baru ini sebulat suara menyokong resolusi untuk meninggalkan gabungan itu.

Menurut laporan, meskipun perwakilan menyokong usul keluar, keputusan muktamad mengenai masa dan hala tuju kerjasama parti itu akan dibuat oleh Presiden dan Jawatankuasa Kerja Pusat MIC.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan