BANGKOK, 18 Nov (Bernama) -- Malaysia terus muncul sebagai penyumbang terbesar ketibaan pelancong asing ke Thailand, dengan lebih empat juta rakyat Malaysia berkunjung ke negara itu setakat 16 Nov tahun ini.
Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan dan Sukan, Natthriya Taweewong berkata Thailand merekodkan 28.28 juta kedatangan pelancong asing dari 1 Jan hingga 16 Nov tahun ini.
“Lima pasaran utama ialah Malaysia dengan 4.06 juta pelawat, diikuti China (3.95 juta), India (2.11 juta), Rusia (1.53 juta) dan Korea Selatan (1.34 juta).
“Secara keseluruhan, ketibaan pelancong asing tahun ini telah menjana kira-kira 1.31 trilion baht (100 baht = RM12.85) dalam hasil pelancongan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Natthriya berkata pasaran jarak dekat terus menunjukkan prestasi kukuh sepanjang minggu lalu, diterajui Malaysia yang kini melepasi paras empat juta pelawat.
“Bilangan pelancong Korea Selatan turut meningkat dengan ketara apabila percutian musim sejuk, melonjak lebih 16 peratus berbanding minggu sebelumnya.
“Korea Selatan kini berada di kedudukan kelima pasaran sumber, berbanding tempat kelapan sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata jumlah pelancong dijangka terus meningkat minggu hadapan, didorong cuti umum berturut-turut di Jepun serta kemuncak musim pelancongan bagi pasaran jarak dekat dan jauh.
Natthriya juga berkata bahawa langkah kerajaan di bawah inisiatif Ease of Travelling — termasuk pengecualian borang ketibaan TM6 dan usaha menggalakkan syarikat penerbangan menambah kekerapan penerbangan akan terus menyokong kemasukan pelancong.
Khamis lalu, Kementerian Pelancongan dan Sukan turut mengumumkan sasaran untuk menjana 2.8 trilion baht dalam hasil pelancongan menjelang 2026 menerusi pelancaran simbol “Trusted Thailand” yang bertujuan meningkatkan keyakinan pelancong.
-- BERNAMA
