POLITIK

KAJIAN IDEALISME POLITIK, PILIHAN RAYA JENDELA FIKIR PENGUNDI SABAH BUAT PILIHAN TERBAIK - UMS

19/11/2025 05:56 PM

KOTA KINABALU, 19 Nov (Bernama) -- Kajian mengenai idealisme politik dan pilihan raya seperti yang dilaksanakan oleh Unit Kajian Elektoral dan Geopolitik Borneo (GEOPES) Universiti Malaysia Sabah (UMS) berperanan penting dalam membuka jendela fikir pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.

Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata kajian seperti itu berupaya memberikan maklumat terkini dan analisis mendalam mengenai tawaran parti serta calon yang bertanding seterusnya membantu pengundi membuat pilihan terbaik.

Beliau berkata kajian itu juga penting kerana 'pakej' terbaik terutama berkaitan pembangunan dan ekonomi negeri yang ditawarkan perlu dilaksanakan oleh parti serta calon selepas pengundi memilih mereka berdasarkan tawaran berkenaan.

"Kajian ini juga penting bagi memahami bagaimana rakyat Sabah membentuk  jati diri politik  mereka, serta bagaimana idealisme tersebut berinteraksi dengan realiti politik semasa... politik di Sabah ini dinamik, kajian Januari lepas tidak semestinya kena dengan sekarang, perlu ada kesinambungan.

"Justeru, kajian politik dan pilihan raya bukan sekadar statistik, ia adalah jendela perubahan sosial dan ekonomi," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Pilihan Raya Negeri Sabah "Hala Tuju Politik Sabah" di UMS hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (Sabah) Profesor Madya Dr Ramzah Dambul serta Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS Profesor Dr Asmady Idris.

Kasim berkata kajian itu juga mampu memberikan maklumat dalam memastikan keselamatan di Sabah yang dilihat "panas" ketika pilihan raya berlangsung dengan mengenal pasti kawasan berisiko.

"Agensi penguat kuasa misalnya, boleh menggunakan hasil kajian ini untuk membuat pelan bagi menjaga ketenteraman awam dan merancang sumber yang diperlukan," katanya.

Beliau berkata UMS melalui GEOPES dan inisiatif penyelidikan berkaitan berusaha menghasilkan kajian terbaik bagi meralisasi hasrat itu.

"GEOPES mengangkat dapatan seperti pengundi muda, kesan migrasi dalaman dan dimensi identiti yang mempengaruhi corak sokongan... ini ruang penting untuk merungkai isu berkaitan secara berfakta, seimbang dan ilmiah,” katanya.

Hari pengundian PRN Sabah ke-17 ditetapkan pada 29 Nov manakala undi awal pada 25 Nov.

Untuk berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan